Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Wednesday, March 6, 2013

TRAVELOG TEPI SEORANG PENULIS


Assalamualaikum..

Keinginan membuak-buak untuk update blog, sentiasa berperang dengan aktiviti harian sebagai pelajar di institusi ini. Bak kata ustaz ana, kalau tak dapat buat semua, jangan tinggal semua.. Betul lah tu.. Konsep istiqamah tu kena ada, walaupun amal kebajikan yang di buat sedikit.

Mengapa ana menulis?



Tak ramai yang ingin tahu. Jadinya ana abaikan untuk menjawab persoalan ini.. Suatu ketika dahulu.

Sahabat-sahabat pun, cukup ramai yang hanya faham ana suka menulis. Ramai juga yang bagi sokongan moral, kata-kata semangat dan taujihad supaya ana terus kekal menulis dan menulis lagi. Terima Kasih, sahabat-sahabat seperjuangan. 

Tentunya, prioriti utama seorang da'ie menulis untuk menyeru manusia kembali kepada Allah. Ana tidak mahu huraikannya terlalu panjang, kerana sahabat-sahabat pastinya sudah maklum dengan kata-kata: "Niatkan sesuatu ikhlas, Lillahi Ta'ala"...Dan juga hadis tangga pertama dalam buku 'Matan Arbain' itu juga, pastinya ramai yang telah hadam.

Memang,

dari dulu ana memang suka menulis. Sejak di bangku sekolah rendah, bermula dengan tulisan-tulisan tepi seorang budak hingusan yang suka menyimpan diari merah jambu di bawah bantal sebagai 'Top Secret'. Itulah masa kecil ana serba ringkasnya. Sejak tadika lagi, ibu dan ayah selalu bawa ana dengan kakak ke Perpustakaan, namun kebiasaan itu pupus setelah corak kehidupan berubah, apabila kami berpindah untuk membesar di kampung. Entah kenapa. Mungkin sebab kedudukan kampung jauh dari bandar. 


Ingat lagi, masa tu, zaman ekonomi meleset, dan ramai penjawat awam diberhentikan perkhidmatannya, salah seorang termasuklah ayah.Jadi, sejak darjah 2 hingga ke tingkatan 3, ayah menyara hidup kami dengan berniaga kedai runcit. Kadang-kadang menjadi imam dan penceramah tidak rasmi di masjid kampung kami. Sementelah Ibu pula ajar mengaji di kampung sebelah. Masa tu, kalau dapat duit lebih, ana habiskan untuk membeli buku yang cantik-cantik, pen yang best, supaya ada motivasi lebih untuk menulis. Tak kisah la. Menulis apa sahaja, janji ianya dikatakan menulis. Masa tu, manalah tahu buat blog, facebook pun takde. Itu sajalah yang mampu ana buat.Kakak kata ana ni suka membazir, beli buku, tulis-tulis kemudian koyak. Tapi, dia tak tahu, ana koyak sebab malu ayah, ibu, kakak baca karya-karya masa tu. Masa tu memang cukup bermotivasi untuk menulis, tapi langsung tak nak ada orang lain baca, tambahan pula ada kakak yang suka mengusik ana.Menjadikan ana lebih malu. Aduhh...

Sampai waktu sekolah menengah, ana sambung hobi menulis itu. Kalau beli buku latihan cap lencana sekolah, paling tidak ana spare kan sebuah buku kosong, untuk mengarang cerpen-cerpen dan sajak-sajak. Masa tu zaman 'jahiliah' lagi. Karya ana mula diselitkan sedikit unsur-unsur Islamik, maklumlah dah masuk SMKA.. tapi mengikut arus semasa yang ketika itu ligat memutarkan lagu-lagu nasyid cinta remaja yang konon islamik la.. Maka, begitulah juga cerpen karangan ana. Tambahan pula dengan ilmu yang agak cetek, seronok sahaja ana menulis. Menjejak kaki ke alam pengajian tinggi barulah sedar apa implikasi buruknya.. Buruk.. buruk sungguh..

Tapi zaman tu, seusai sebuah buku latihan habis ana kerjakan dengan beberapa buah cerpen, maka adalah pelajar-pelajar perempuan yang pinjam. Kalangannya termasuklah senior dan junior. Yang tak best pula, last-last buku tulisan ana mesti hilang 'disapu' si peminjam..




Zaman sekolah menengah jugalah, ana jadi seorang pelajar yang memang suka menghantar karya di setiap isu majalah sekolah. Memang menjadi suatu kewajipan masa tu. Sehinggalah pada suatu ketika, ana tersedar bahawa menjadi seorang penulis walaupun tidak sepopular penulis 'best seller book', membuatkan ana menjadi seorang yang sangat.... sangat.. pendiam. Pernah juga ana mendengar usikan rakan-rakan: "dia ni dalam seminggu, boleh kira berapa patah sangat dia bercakap"... Haha.. teruk sangat dah tu..

Maka, berbekalkan sedikit pengalaman yang ada, ana mencuba-cuba menceburi bidang 'atas pentas'.. daripada MTQ pemilihan wakil untuk syarahan agama di sekolah, terus menjangkau ke pertandingan peringkat Negeri Sabah, namun tewas di situ. Masa tu tujuan ana bukan untuk mengejar menang kalah, walhal untuk belajar kemahiran 'bercakap'.. Hahaha.. kelakar sungguh, sampai macam tu sekali.

Sedar tak sedar, seoronok juga mencabar diri sendiri untuk bercakap di depan orang. Sekurang-kurangnya ana dapat mengimbangi sikap pendiam dan perasaan malu yang membuak-buak dalam diri ana.Siri penglibatan ana dalam dunia 'atas pentas' ini berterusan sehingga bergelar sorang pendebat sekolah, seterusnya menjadi salah seorang ahli team pendebat institut pada tahun 2011. Namun, pada akhirnya, ana membuat keputusan untuk merehatkan diri daripada dunia perdebatan, atas beberapa sebab, dan salah satunya, ana akui dunia perdebatan ini merupakan suatu medan yang jika tidak diimbangi dengan cermat, tenang dan berhati-hati, boleh membawa pergaduhan dan pertelingkahan.Cukuplah ana dapat tahu asasnya sahaja, yang dapat ana gunakan pada masa-masa yang sesuai, masa-masa yang mendesak, apabila Islam perlu dipertahankan dengan kepetahan dan kelincahan hujjah yang bernas berlandas Al-Quran dan As-sunnah.. InsyaAllah. 



Awal 2008, ayah kembali bertugas di JHEAINS yang berpusat di Kota Kinabalu, Sabah. Jadi kami terpaksa berpindah sekali lagi ke Kota Kinabalu. Paling tak dapat dilupakan, seorang sahabat baik yang memang rapat dari zaman sekolah menengah waktu tu, mengejar ana hingga ke airport, namun gagal menemui ana di sana kerana 'flight' ana ketika itu sudah berlepas.

Bermula saat itu, ana akhirnya berdaftar secara rasminya sebagai seorang pelajar di sebuah sekolah yang suasananya jauh berbeza dengan sekolah dahulu tempat ana menuntut ilmu. Sebuah tempat yang cukup sederhana, tapi mengajar ana pelbagai hakikat hidup. Hakikat apa yang ana telah pelajari daripadanya? mungkin sahabat-sahabat telah tahu daripada entri-entri yang lepas.(klik sini)

Disini, ana terus dengan kegiatan penulisan. Tidak secara rasmi, namun cukuplah ana katakan ana berjumpa beberapa orang 'soulmate' yang berkongsi minat yang sama dan terkadang bertukar-tukar idea, bertukar-tukar karya. Lebih menariknya, salah seorang daripada mereka bukan sahaja kerap bertukar idea dan karya dengan ana, bahkan disebabkan nama dan rupa yang hampir seiras, guru-guru juga pernah tertukar nama ketika memanggil kami. Mungkin secara kebetulan.. tidak! ana tidak akan kata itu kebetulan, melainkan takdir Allah yang menemukan kami. Alhamdulillah..




Begitulah seterusnya, ana pada akhirnya setelah menamatkan zaman persekolahan, mula membuka laman blog sendiri sebagai medan untuk melanjutkan penulisan ini. Tulisan yang sebenarnya, bermatlamatkan bukan hanya semata-mata menyampaikan kepada orang tetapi juga peringatan buat diri sendiri. Islah nafsak, wad'u ghairak.

Kehidupan di zama pengajian tinggi, akhirnya menjadikan ana seorang yang serius bergiat dalam penulisan yang ana jadikan sebagai wasilah untuk ana menyampaikan dakwah, melaksana amar makruf nahi mungkar. Benarlah yang pernah seorang sahabat katakan, lebih banyak kita sampaikan, lebih banyak yang kita tahu. Mengapa begitu? Untuk pengetahuan sahabat yang dikasihi, dunia penulisan ini membuatkan ana lebih banyak membaca dan mengkaji sebelum menyampaikannya lewat penulisan-penulisan di blog, mahupun di laman facebook ana. Secara tidak langsung, minat ini rupanya mendorong ana untuk lebih banyak menuntut ilmu, supaya dapat dijadikan bekalan buat diri, dikongsikan kepada orang lain supaya ianya dapat dimanfaatkan bersama. Alhamdulillah.. Inilah rahmat dan anugerah kurniaanNya, yang sangat bermakna bagi ana.

Namun, dalam bidang ini, sesungguhnya ana akui, ana masih tidak punya banyak pengalaman berbanding mereka di luar sana.Antum semua bahkan lebih dari ana. Jauh lebih baik.. Untuk itu, pohon doa sahabat-sahabat, agar ana terus istiqamah dijalan ini. Mungkin, ana tidak sehebat Ustaz Azhar Idrus menyampaikan ceramahnya, mungkin ana tidak sebagus kumpulan UNIC dalam melantunkan alunan zikir lewat nasyidnya. Bukan juga sebaik Ustaz Zaharuddin yang laman blognya dikunjungi jutaan pembaca saban hari. Ana punya hanya sekadar audiens kecil ini.. Audiens yang sangat-sangat ana hargai kehadiran antum yang sudi turut membaca perkongsian demi perkongsian. Audiens yang ana anggap sahabat-sahabat dan saudara ana..

Buat antum semua, terima kasih kerana sudi menjadi audiens di teratak sunyi ana.


Apa kata anda:

0 pelajar nak bagi pandangan:

Post a Comment