Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Saturday, January 19, 2013

ISU BAWANI KS VS SHARIFAH ZOHRA: DARI SUDUT PANDANGAN SEORANG PENDIDIK


LISTEN!
LISTEN!
LISTEN!

Pertama kali membuka Laman Sosial Facebook selasa lalu, ana di kejutkan dengan timbulnya perkataan-perkataan ini di status-status sahabat ana. Bukan seorang dua, malahan boleh dikatakan hampir semua mereka mengulang-ulang perkataan yang sama. Kenapa? seolah-olah suatu bentuk trend, atau, mungkinkah provokasi yang di mainkan oleh pihak-pihak tertentu, agar golongan mahasiswa mahu peduli atas apa yang berlaku. 



Kebetulan, malam itu diadakan  usrah santai yang dikendalikan oleh salah seorang senior ana di biliknya. Maka ana timbulkan isu ini agar ana dan sahabat-sahabat ana ketika itu dapat berbincang dan mengutarakan pendapat bersama. Alhamdulillah, usrah malam itulah yang membuka ruang dan peluang untuk ana melihat sendiri video yang sedang hangat menjadi topik perbincangan di rata-rata laman sosial. Setelah melihat dan menilai, hati ini terpanggil untuk menyuarakan pendapat sendiri. Sebelum pergi dengan lebih jauh, mari kita lihat sedikit fakta berkenaan dengan forum yang dianjurkan ini:



TAJUK: "SEIRINGKAH MAHASISWA DAN SISWI DENGAN POLITIK"


TARIKH: 8 Disember 2012
TEMPAT: Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
ANJURAN: Pertubuhan Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M)
KEHADIRAN: 3000 Orang
MODERATOR: Ku Amirul Aziz Ku Seman (YDP MPP UUM 2012/2013)
AHLI PANEL:
1. Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia
2. Peter Yap (salesman)
3. Gulam Muzafar (banker)
4. Mazli Mutazam (Pengetua Kolej Proton, UUM)


KRONOLOGI KES: (DARIPADA SEORANG SAHABAT YANG MERUPAKAN SALAH SEORANG PELAJAR UUM)


[SEBELUM PROGRAM]


[1] TAJUK

Tajuk forum pada hari kejadian yang digembar-gemburkan ialah "Seiringkah Mahasiswa Berpolitik?" cukup jelas dan umum. Ini perkara pertama yang membuatkan saya mendaftar sebagai peserta tanpa berfikir panjang.

[2] MODERATOR

Moderator pada hari kejadian dikatakan saudara yang saya hormati YDP MPPUUM (gambar) sendiri iaitu Saudara Ku Amirul, dia adalah pimpinan tertinggi di dalam kampus ini, wajar bagi saya menaruh harapan besar untuk mendengar penjelasan beliau tentang "SEIRINGKAH MAHASISWA BERPOLITIK?".

[3] MISTERI PANELIS

Panelis jemputan pada hari kejadian di"rahsia"kan, saya ini jiwa ingin tahu, jiwa mencari ilmu, jiwa mencari solusi, apabila panelis di"rahsia"kan, hati saya membuak-buak mencari siapakah mereka? Sememang hati saya berteka-teki mungkinkah tokoh-tokoh ilmuan negara? Ataupun ahli akademik yang berautoriti tinggi akan mengupas tajuk ini.


[SEWAKTU PROGRAM]

~SEJAM AWAL PROGRAM~

Saya berada di sana 9.15 pagi lebih kurang. Saya masuk dewan, dan saya lihat background pentas tertulis satu tajuk yang berlainan dengan apa yang saya ketahui sebelum ini, adakah tajuk diubah? Menunggu dan menunggu lebih kurang pukul 10 pagi barulah persoalan penulis terjawab dengan ketibaan VIP jemputan dan panelis diumumkan.
Antara 4 panelis :
1. Presiden Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia
2. Peter Yap (salesman)
3. Gulam Muzafar (banker)
4. Mazli Mutazam (Pengetua Kolej Proton, UUM)

~ 2 JAM AWAL PROGRAM~

Saya sedikit kecewa dengan senarai panelis yang ada namun kerana jiwa ini dahagakan penjelasan mengenai isu ini, terus berada di dalam dewan terbabit moga-moga, mereka dapat mengulas tajuk ini dengan baik. Malang kerana apa yang saya hajati tak tercapai dan lebih malang lagi forum telah berubah kepada isu kepimpinan wanita, dan ini senarai isu yang dimainkan:

[1] Ambiga pencetus demokrasi.
[2] Kes Nurul Izzah dengan kebebasan beragama.
[3] Bersih.
[4]Mahasiswa berdemonstrasi PTPTN.

Dari 10.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari, isu ini lah yang diulas, langsung tiada hujah ilmiah dan hanya membawa pandangan sebelah pihak, berulangkali panelis-panelis di atas sana menyatakan bahawa mereka tidak berpolitik kepartian tetapi ingin menunjukkan pimpinan wanita yang bermasalah di negara dan ingin dijadikan iktibar, saya akur! Tapi kenapa pimpinan pembangkang sahaja yang diserang? Maksumkah pimpinan wanita kerajaan? Mana kes menteri Shahrizat Jalil dengan NFC? Kes "First Lady" Rosmah Mansur dengan cincinnya? Satu sahaja ingin saya utarakan, adakah adil kamu menyerang sebelah pihak hanya kerana "mereka" berhaluan kiri?

~SEJAM SEBELUM TAMAT PROGRAM~

Saya melihat di sebelah, seorang peserta sedang menulis di satu helaian borang. Bila saya perhatikan, ada yang tidak kena dengan helaian borang ini, yang menganjurkan adalah NGO tetapi kenapa di bawah helaian kertas ini berisikan biodata diri dan tempat mengundi dun dan parlimen.

Bila saya tanya kepada peserta terbabit dari mana datangnya, rupanya borang itu diedarkan awal program lagi, patutlah saya tak dapat kerana agak lewat. Saya ambil gambar borang untuk mencari jawapan kenapa borang ini agak ganjil pada pandangan saya. Kemudian sesi soal jawab dibuka, saya sudah bersedia ingin bertanya, malang terus berpanjangan apabila dua soalan sahaja dibuka. Tidak sempat saya sampai di mikrofon untuk bertanya soalan di tengah-tengah dewan itu sesi soalan telah ditutup. Saya mula rasa "semacam". Saya tahu bukan saya sahaja yang ingin bertanya tetapi tidak berkesampaian, selepas jawapan diberikan oleh Puan Sharifah, tiba-tiba beliau meminta kami berdiri, dan kemudian YDP MPP menjadi ketua membaca ikrar. Saya tidak mengikutnya kerana saya langsung tidak jelas apa yang ingin diikrarkan sebenarnya (mungkin tidak teratur seperti yang sebenar tetapi secara asas beginilah).

~MISS BAWANI MENGHANGATKAN SUASANA~

Selesai sahaja ikrar, sejurus sahaja semua dipersilakan duduk, sedang asyik Puan Sharifah bercakap di hadapan, satu suara minta untuk diberi perhatian kerana ingin melontar pendapat. Ya itu adalah Bawani. Perisitwa inilah yang menjadi bualan sekarang, dan mengegar satu Malaysia.


[SELEPAS PROGRAM]

Selesai forum, 2000 peserta sekali lagi diberi makanan tengah hari percuma. Ramai yang berbicara kejadian panas ini, tetapi hanya berlegar di kalangan pelajar UUM. Ada yang menyokong dan ada yang mengkeji tindakan Bawani. Tetapi sebulan selepas program ini berlangsung barulah isu ini tersebar dan menjadi bualan seluruh Malaysia.


DARI KACA MATA SEORANG PENDIDIK




Baiklah, antum para pembaca mungkin memiliki respon yang pelbagai bagi insiden ini. Beberapa persoalan yang timbul selepas membaca kronologi kisah isu ini, dan meliht sendiri video tersebut, serta mengkaji beberapa aspek berkenaan dengan isu ini, sebagai seorang pendidik, maka ini respon ana:

1. Berkenaan isu panelis yang di rahsiakan dan penukaran tajuk forum secara drastik, serta kupasan-kupasan isu di dalam forum.

Seharusnya pihak penganjur tidak sepatutnya berahsia berkenaan dengan identiti panel-panel jemputan yang hadir untuk mengupas isu ini. Mahasiswa patut tahu krediliti panelis-panelis ini dalam mengupas isu politik yang diketengahkan. Ana percaya, mahasiswa-mahasiswa kita mempunyai kualiti dalam membuat penilaian kerana mereka di didik begitu. Dalam pembuatan tugasan kerja kursus/ assignment misalnya, mahasiswa-mahasiswa kita membuat rujukan daripada tokoh-tokoh terkemuka yang arif mengenai tajuk-tajuk tugasan yang diketengahkan. Kalau tak cukup yakin lagi, maka mereka membuat rujukan kepada pensyarah-pensyarah yang bertauliah, berkelulusan dari universiti-universiti terkemuka seluruh dunia.

Oleh yang demikian, adalah HAK MUTLAK para mahasiswa yang menghadiri forum ini, untuk tahu adakah panelis-panelis yang diketengahkan bagi mengupas isu ini cukup autoriti untuk bercakap di hadapan. Adilkah isu ini dikupas oleh seorang presiden pertubuhan yang disahkan bukan seorang tokoh politik? atau seorang banker? ataupun seorang 'sales man'? Maka wajar, penjelasan berkaitan isu yang ditimbulkan, jelas berat sebelah, mengambilkira kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja. Apa fungsi borang-borang berunsur politik kepartian yang perlu diisi para mahasiswa ini?

Justeru, ana melihat tindakan-tindakan ini hanyalah umpan-umpan yang di mainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memancing mahasiswa-mahasiswa yang dahagakan ilmu dan penjelasan ilmiah. Program ilmiah tidak seharusnya di campur adukkan dengan perancangan-perancangan halus untuk berkempen, tidak kiralah sama ada pihak berkenaan kerajaan, ataupun pembangkang sekalipun.

2. Kelantangan Bawani

Ada pihak yang mengatakan kurang setuju atas kelantangan Bawani yang kelihatan mengkritik habis-habisan dan menimbulkan beberapa persoalan berunsur sokongan terhadap parti pembangkang, bertentangan dengan apa yang dibawa oleh panelis-panelis di dalam forum ini.Memetik kata-kata sahabat dari UUM ini:

"Dan pihak penganjur mempersoalkan kenapa tidak bertanya sewaktu sesi soal jawab dibuka, saya rasa penganjur perlu sedar bahawasannya penganjur hanya membuka 2 soalan untuk kami bertanya sedangkan TAJUK forum belum lagi terungkai!"

Pertama, ana melihat, tidak salah saudari Bawani mengutarakan persoalannya pada masa yang tidak ditetapkan kerana mahasiswa seramai 3000 orang di dalam dewan hanya diberikan peluang untuk mengajukan 2 persoalan bagi topik yang hangat ini, sedangkan masih banyak lagi persoalan-persoalan yang belum terjawab. Hatta jika ia berunsur kepartian sekali pun, ianya masih tidak salah kerana panelis-panelis juga secara halusnya membawa unsur-unsur tersebut dalam kupasan mereka. Maka agak mustahil jika tidak ada 'counter back', atau respon berbeza daripada 3000 orang pelajar yang mempunyai fahaman dan buah fikiran yang berbeza. Hal ini juga menunjukkan bahawa beliau seiring mengikuti perkembangan politik. Perlu kita lihat, Saudari Bawani bercakap dengan menghuraikan fakta-demi fakta yang menunjukkan kepekaan beliau, maka beliau perlu diraikan di dalam majlis-majlis ilmu begini, sambil mencari jalan penyelesaian bersama secara ilmiah, bukan secara emosional dan akhirnya beliau dimalukan dihadapan lebih 2000 peserta lain.

Kedua, sebagai seorang pendidik yang sinonim dengan latar belakang budaya pelajar yang berbeza, ana tidak terkejut dengan nada kelantangan dan kepetahan suara pelbagai pelajar. Setiap pelajar memiliki cara percakapan, intonasi suara, loghat dan nada pertuturan berbeza. Sebagai contoh, seorang pelajar yang biasa berhujah atau berpidato, berbeza percakapannya dengan pelajar yang tidak biasa tampil kehadapan, dan seorang yang berasal dari Kedah, dialeknya tidak sama dengan yang berasal dari Sarawak. Begitu juga dengan nada suara Saudari Bawani, sesetengah pihak mungkin menilainya kasar, bahkan, ana sendiri juga merasakan begitu, tetapi sesetengah yang lain, berpendapat ianya biasa-biasa sahaja.


3. Respon Puan Sharifah



Dari sudut psikologinya, seorang yang berilmu perlu menegur seseorang dengan penuh hikmah, dan berilmu. Mungkin juga, reaksi Puan Sharifah itu adalah reaksi 'automatik' setelah dihujani provokasi atau pendapat yang bertentangan dengan beliau, ditambah dengan lantangnya suara Bawani ketika itu. Namun, adakah beliau berhak menghina Bawani? Sekali lagi ana mempersoalkan kredibiliti dan autoriti beliau sebagai seorang panelis. Bawani sepatutnya dibenarkan menghabiskan percakapannya. Puan Sharifah tidak sepatutnya menarik pembesar suara untuk menghentikan Bawani bercakap, dan apa rasionalnya mengulang-ulang perkataan "Listen, listen, listen" berkali-kali? Lebih ironi, beliau kemudiannya mengucapkan ‘Let me speak’ sehingga 7 kali.

Adalah lebih baik kalau Puan Sharifah berhujah dengan bijaksana, dengan pengajaran yang baik, berdebat dengan cara yang terbaik. Ini bukan soal maruah Bawani sahaja, tetapi juga maruah beliau. Ana melihat kesan yang begitu mendalam mengaitkan maruah beliau, di mana perkataan 'listen' disebut berulang-ulang oleh ramai pihak, seolah-olah dijadikan bahan mainan. Bukankah itu memalukan beliau sebagai orang yang mempunyai pengetahuan? Dari sudut agama pula, Puan Sharifah yang beragama Islam sepatutnya memberikan contoh yang baik, lebih-lebih lagi ketika berhujah dengan orang bukan Islam. Malangnya, hujah balas Puan Sharifah menampakkan penghujahan yang kurang matang, dan memalukan apabila beliau yang merupakan Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) membalas Saudari Bawani yang  bercerita mengenai masa depan negara, dengan hujah-hujah seperti:


1.When I speak, you listen’, ‘jangan samakan negara lain dengan Malaysia’
2.‘apa yang kamu buat di Malaysia, go to Cuba, go to Argentina, go to Libya’
3.‘animals have problem’
4.‘kucing ada masalah’
5.‘and you tau tak binatang apa yang paling banyak sekali masalah?’
6.‘pernah makan shark finn?’

Sepatutnya, jika Puan Sharifah tidak bersetuju sekalipun dengan pendapat dan buah fikiran daripada saudari Bawani, berilah hujah yang lebih bernas yang setara dengan apa yang dikemukakan Saudari Bawani. Anak muda, biasalah jiwanya cepat memberontak, darah sedang panas, sentiasa berkobar-kobar dan bersemangat lebih-lebih lagi isu yang dibentangkan cukup dekat dengan kehidupan mereka. Belajarlah untuk mendengar. Bukannya cerita mengenai binatang dan kemudian cuba untuk mempermainkan kalangan mahasiswa dengan Galaxy NoteSungguhpun ada yang menganggap cerita binatang yang dibawakan Puan Sharifah itu hanyalah perumpamaan, tetapi ia tetap tidak sama 'level' dengan hujah Bawani yang bercakap mengenai isu-isu semasa dari sudut pandangan beliau.

Andainya perkara seperti ini berlarutan, ana khuatir, sikap hormat-menghormati antara masyarakat muda dengan yang tua, akan semakin dipandang enteng, budaya ilmu di pandang sepi dan akhirnya, jadilah masyarakat kita sebagai masyarakat tidak berilmu dan rendah pula akhlaknya. Nauzubillah..















































Apa kata anda:

0 pelajar nak bagi pandangan:

Post a Comment