Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Wednesday, January 25, 2012

UCAPKANLAH, AKU RINDU PADAMU..



Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w seraya bersabda:

"Sesungguhnya aku amat merindui ikhwanku"

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna."Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Inilah kisah pengucapan rindu baginda kepada kita, ummat yang tidak pernah baginda temui..namun....,,

Zaman berlalu menjadikan kisah ini kian disimpan utuh dalam lipatan sejarah. Umpama naskhah lama yang di simpan rapi di dalam almari tua, tidak di pedulikan. Dia yang mengasihi dan merindui, sudah semakin dilupakan. Padahal, di sepanjang kehidupan baginda, tidak pernah sedikitpun baginda lupa untuk mengingati kita, dalam doa, dalam setiap sujud bahkan setiap hela nafas..Subhanallah..hebatnya kasih dan cintamu kepada kami Ya Rasulullah.

Pada hari ini, mari kita bertanya kedalam diri, sudahkah kita jatuh cinta kepada dia yang mencintai kita lebih seabad lamanya? dan apakah bukti cinta dan kasih sayang kita kepadanya? Bukankah sudah banyak bukti kukuh yang dia pamerkan untuk menunjukkan betapa dia sangat sayang kepada kita sebagai ummatnya?

Benar, ramai kalangan kita yang mahu mengaku cinta, tapi....

Mengaku cinta dengan meninggalkan sunnah-sunnahnya..
Mengaku cinta dengan melupakan selawat ke atasnya..
Mengaku cinta dengan tidak menelusuri salasilah dan riayat hidupnya..

Lalu..

Dengan apakah lagi kita dapat membuktikan bahawa kita cinta kepada Rasulullah yang sanggup menanggung separuh daripada azab sakaratul maut ummatnya dipenghujung riwayat baginda?




Hari ini, kita ummatnya sering terpaksa menghadiri kuliah sirah di bilik-bilik kuliah, menelaah kehidupan baginda dengan hati kosong, semata-mata untuk mencapai matlamat materialistik atau demi kejayaan pada musim peperiksaan. Maka tanyalah kedalam hati nurani, adakah kita ummat yang dirindui oleh Rasulullah, yang menjadikan para sahabat iri hati mendengar ucapan baginda di dalam majlis itu suatu ketika dahulu?

Jika tidak, kelompok ummat yang manakah diri kita ini akan tergolong?

Pada sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki ini alangkah ruginya kita andai kita tidak pernah merindui dan mencintai seseorang yang amat mencintai kita dengan sebenar-benar cinta. Bermulalah dengan sedaya upaya mengamalkan sunnahnya, mengamati segala pesanan baginda, melazimi selawat keatasnya, serta menelusuri sirahnya dengan penuh berhikmah. Subur dan buktikanlah cinta kita pada baginda. 

Dari Anas R.A, dari Nabi s.a.w, bahawasannya baginda bersabda:


لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

“Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan segenap umat manusia.” (Muttafaq Alaih)



Maka, ucapkanlah....
Ya Rasulullah.. aku rindu padamu..






Apa kata anda:

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. اللهم صلّ على سيّدنا محمد و على آله

    ReplyDelete