Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Saturday, January 28, 2012

WARKAH BUAT MAMA


Melepaskan lelah usai menyiapkan rancangan pengajaran harian yang bakal dilaksana pagi esok.Seketika aku memandang pada kehijauan padang rumput yang seluas mata memandang. Murid-muridku ada yang masih tidak pulang ke rumah kerana terlalu asyik bermain bersama-sama di padang tersebut. Melihat keghairahan mereka berkejaran ke sana-sini, sedikit sebanyak terimbau kembali cerita lama sewaktu berada di bangku sekolah seperti mereka. Begitulah kehidupan, setiap seorang daripada kita, akan melalui jalan yang sama, walaupun dalam kisah yang berbeza. Alam persekolahan, kemudian menjangkau usia remaja,dan akhirnya dewasa.. lalu... pasti akan bertemu dengan kematian di penghujungnya. Janji Allah itu benar, setiap yang bernyawa, pasti akan merasai kematian.


Tiba-tiba lamunanku terhenti, dalam kegamatan suasana mereka yang masing-masing tertawa keriangan, diam-diam gadis kecil itu memerhatikan gerak laku mereka sambil duduk menunggu seseorang. Termenung, lama. Tetapi apabila aku berkira-kira hendak mendapatkan dia di sana, tiba-tiba sebuah kereta hitam datang kemudiannya menghilang bersama kelibatnya. Dia,

Najwa

Demikian dia memperkenalkan dirinya di awal pertemuan ketika kali pertama aku mengajar di dalam kelasnya. Apabila melihat ke dalam anak matanya, seolah-olah ada sesuatu yang mengelabui sinar mata Najwa. Dia, bahkan tidak seceria kanak-kanak lain seusianya, meski reputasinya tidak pernah mengecewakan aku di dalam bilik darjah. Menurut guru-guru yang lebih lama bertugas di sekolah ini, Najwa bukan sahaja pelajar cemerlang dalam akedemik dan berasal dari keluarga ternama, bahkan, dia miliki kelebihan pada suara yang merdunya yang lunak beralun,juga seorang jaguh sukan kebanggaan sekolah. Sinar itu, menurutku patut sudah cukup menjadikan gadis kecil berumur 12 tahun sepertinya membesar dengan penuh girang dan bangga. Tetapi, bukan itu yang berlaku.

Bahasa kesedihan pada mata bening Najwa menimbulkan persoalan di hati kecilku.


**************************************************************

Mama terdiam. Najwa jadi kaku. Entah soalan itu membuat Mama berkecil hati atau tidak. Baru juga hari ini, entah kekuatan apa yang mendorong Najwa bertanya tentang hal itu. Sedangkan sebelum ini, dia sendiri membiarkan diri terus-menerus tidak mengerti tentang mama.

"Wang saku Najwa cukup lagi tak? nak Mama tambahkan?" pintas mama mengubah topik. Najwa ketap bibir, menahan keluhan kecil yang hampir keluar dari mulutnya kerana sikap acuh tak acuh mama.

"cukup, Mama." jawabnya pendek. Mama ketika itu telah memperlahankan kereta, pintu pagar di buka dan dia kemudian memandu masuk melewati pagar dan berhenti betul-betul di hadapan rumah banglo dua tingkat mereka.Usai turunnya Najwa dari kereta, Mama menghidupkan enjin lagi, berkejar ke meeting anak syarikatnya di Bangsar.

Selalu  Najwa memujuk hatinya yang inginkan belaian Mama dengan membiarkan dirinya turut hanyut dalam kesibukan Mama. Mama, ibu tunggal berkerjaya yang memenuhi hidupnya dengan bergiat aktif dengan karier. Baginya Mama merupakan ibu dan ayah, semenjak ayah terlibat kemalangan ketika usia Najwa menjangkau 5 bulan. Jadi, tidak ada apa-apa memori yang dapat di simpan bersama-sama ayah. Melainkan beberapa keping gambar yang boleh sesekali di tatap buat kenangan.

"termenung lagi?"

Bulat anak mata Najwa mendengar suara itu. Di sisi Ustazah Hani sedang tersenyum melihat Najwa.


"Ustazah.. erk..macam mana..."
"ustazah minta maaf sebab mengekori kamu sampai kesini" pintas Ustazah Hani mematikan persoalan di benak Najwa.

"sebenarnya, ustazah cuma nak berbual-bual dengan kamu.. boleh temankan ustazah sebentar?" pintanya.

Dia senyum,
Najwa juga tersenyum. 

"Duduklah, ustazah. Mak Teh balik kampung, biar Najwa buatkan air, ustazah nak minum air apa?" Najwa bergegas ke dapur. Mujur juga, kehadiran Ustazah Hani mengubat sedikit kesunyian bersendirian apabila Mak Teh tidak ada di rumah. Kerana itu, Najwa betah melayan guru barunya itu. Tenang melihat Ustazah Hani tersenyum, senang memandang perwatakannya yang ceria lagi berpakaian menutup aurat. Jujur saja, terkadang dia lebih menyenangi guru yang baru di kenalinya ini berbanding Mama sendiri. Kenapa? dia sendiri hilang punca memikirkan jawapannya.

"Eh, tak perlu lah susah-susah.. Ustazah dah minum tadi" Ustazah Hani menolak.
"Tak pe. Ustazah bukan selalu pun datang rumah Najwa ni. hehe.."
"Ermm.. kalau macam tu, mari ustazah bantu,"

ustazah Hani menyusuli Najwa ke dapur rumah itu.



"Najwa sendiri kat rumah?" 



Najwa angguk-angguk. "Dah biasa ustazah" katanya ramah. " Ustazah, kenapa kita mesti solat dan tutup aurat?" 



Ustazah Hani masih tersenyum. Tenang. "Sebab solat dan menutup aurat tu perintah Allah, kita ni kan hambaNya.".. 



"kalau kita tak buat?" tanyanya lagi. 



"Hmmm... Najwa, ingat tak, ustazah pernah cerita pasal kisah penciptaan Nabi Adam kat kelas dulu?" Najwa angguk. Ustazah nak cerita sambungan dari kisah tu, Najwa nak dengar tak?" Najwa angguk-angguk lagi. Lalu Ustazah Hani pun memulakan ceritanya, 



"Selepas Allah menciptakan Nabi Adam, maka Allah telah memerintahkan semua makhluk tunduk memberikan penghormatan kepada Nabi Adam. Pada masa tu, semua makhluk akur kepada perintah Allah, mereka tunduk memberikan penghormatan kepada baginda. Tapi.. dalam banyak-banyak tu, ada satu makhluk yang tak nak ikut perintah Allah.." 



"siapa makhluk tu ustazah? tanya Najwa penuh minat. 



" Haa, makhluk tu lah yang bernama iblis LaknatuLLah. Iblis dengan angkuh berkata kepada Allah: 



'Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering lagi busuk itu' 

mendengar kata-kata iblis yang angkuh itu, Allah telah murka dan iblis akhirnya diusir keluar daripada syurga, dan kemudian menjadi penghuni neraka. Macam tu lah juga kita manusia, Allah berfirman dalam Al-Quran bahawa Dia menciptakan makhluk dari kalangan jin dan manusia untuk akur perintahnya, siapa yang tak nak ikut perintah Allah akan mendapat kemurkaan Allah dan pada hari akhirat nanti, akan dimasukkan ke dalam neraka.." 


tidak semena-mena Najwa menangis teresak-esak. 



"Najwa, kenapa ni??" ustazah Hani terkejut.Terasa tubuh kecil Najwa memeluknya erat-erat.


*************************************************************************

"Doakan Najwa, ustazah" 



Sempat Najwa mengucup tanganku sebelum meninggalkan bilik guru menuju ke dewan peperiksaan pagi tadi. Hari ini hari terakhir UPSR. Aku senang dapat mengenali Najwa. Dia banyak berkongsi kisah hidupnya apabila acap kali punya kesempatan untuk berbual-bual denganku. Semenjak peristiwa di rumahnya hari itu, hubunganku dengan Najwa menjadi semakin akrab. 



"Mama tak pernah solat, tak pernah tutup aurat. Ustazah, Mama Najwa akan masuk neraka juga kah?" 



Aku terdiam mendengar pertanyaan Najwa. Pundak ini tersa berat sekali untuk menjawab soalan yang keluar dari mulutnya. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Esak tangis Najwa semakin kuat kedengaran. 

"Najwa, sudahlah. Jangan sedih, ustazah akan tolong Najwa.." perlahan ku usap air mata Najwa yang berjuraian. Di situlah termeterai sebuah janji. Ya Allah, bantulah aku untuk mengotakan janjiku pada Najwa. Aku mematikan enjin kereta. Di hadapan, sebuah bangunan tinggi menjulang. Aku teguhkan hati melangkah masuk menuju ke kaunter pertanyaan. 


"Maafkan saya, boleh saya berjumpa dengan Puan Nora?" gadis di hadapanku senyum. Dia mengangkat gagang telefon sambil mendail suatu nombor. "Cik naik lif ke tingkat 5, dan masuk ke bilik pejabat hujung sebelah kiri, Puan Nora sedang menunggu", katanya mesra. Walaupun agak gementar, aku mengikuti sahaja arahan gadis itu. Sambil mencuba untuk bersahaja, aku mengatur langkah satu persatu menuju ke sebuah bilik pejabat peribadi milik Puan Nora. Pintu ku ketuk sambil mengucap salam.Kedengaran suara seorang wanita dari dalam bilik mengarahkan aku masuk. Puan Nora memandang tepat kearahku.



"Ibu mana yang tidak sedar anaknya berubah, ustazah " 

Kata-kata Puan Nora tiba-tiba mengheningkan seketika suasana di dalam bilik pejabat itu setelah hampir 20 minit kami saling beramah mesra.

"maksud Puan?" aku menunggu butir bicara daripadanya.

"Najwa berubah. Dia dah lain..." Puan Nora mula bercerita.

"Saya membesarkan Najwa dengan penuh kemewahan. Makan,pakai, dan semua kemahuannya saya turuti.Maklumlah ustazah, dialah satu-satunya anak yang saya ada. kalau boleh, saya tak mahu kehilangan Najwa sama macam saya kehilangan ayahnya dahulu. Bagi saya, kegembiraan Najwa adalah kegembiraan saya. Tapi..Kebelakangan ni, Najwa banyak berubah. Dia tak seceria dulu lagi. Saya sedar, semakin usia Najwa bertambah,saya semakin sibuk melayan urusan perusahaan hinggakan terkadang tak sempat untuk menjenguk Najwa di rumah. Bila saya balik ke rumah, Najwa sudah pun nyenyak tidur. Jadi pada mulanya,saya ingatkan dia  cuma kesunyian. Tapi jangkaan saya meleset. Najwa berubah 100%. Saya nampak, dia buang 'pinafore' yang saya belikan, esoknya dia pakai baju kurung dan tudung labuh ke sekolah. Wang saku yang saya bekalkan habis Najwa belanja untuk membeli beberapa pasang baju lengan panjang, baju kurung, tudung,naskhah Al-Quran dan... sepasang telekung, tapi, bila saya tanya, katanya duit itu masih cukup.."

"Suatu hari Najwa bertanya kepada saya, 'kat pejabat mama solat tak?'..dalam hati saya.."Puan Nora diam seketika, seakan berat untuk meneruskan kata-kata. Aku melihat ada air mata yang jatuh membasahi pipinya.

"Najwa berubah.. Hati ibu mana yang tidak terharu melihat perubahan anaknya. Tapi yang lebih menyedihkan, Najwa berubah, tetapi saya langsug tidak berubah..tak pernah saya beri didikan agama pada Najwa.. Saya.. jahil.."  

"Puan," ketika itu aku tidak pasti apakah tindakan yang pantas aku lakukan melihat keadaan Puan Nora. Sepucuk surat ku keluarkan daripada saku jubah. Surat tulisan tangan Najwa untuk mamanya, Puan Nora.

"sebenarnya saya kemari untuk serahkan surat yang di tulis sendiri oleh Najwa. Dia mahu puan membacanya"..aku menyerahkan surat tersebut kepada Puan Nora. Dihadapanku, satu persatu tulisan tangan Najwa di baca oleh Puan Nora dengan wajah yang sayu.

"Ustazah, ajarkan saya menunaikan kewajipan saya sebagai hamba Allah".. pinta Puan Nora dalam sedunya setelah selesai membaca isi surat Najwa.


******************************************************************************

Beberapa bulan berlalu semenjak Mama menghantar Najwa dengan mata sayu apabila dia mendaftarkan diri di SMKAT. Dia tahu, sukar untuk mama melepaskan dia hidup sendirian menghadapi rutin kehidupan pelajar asrama. Tapi itulah janji mama Jika dia mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, maka dia boleh memilih mana-mana sekolah yang diingininya untuk melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, Najwa memanjatkan syukur yang tidak terhingga tatkala Dia membuka jalan untuk Najwa menuntut di sebuah sekolah aliran Agama. Pada ketika itu, Ustazah Hani lah yang banyak membantu dan membimbing Najwa. Hingga kini, mereka masih berhubung lewat telefon, masih berkongsi perkhabaran antara satu sama lain. Dan, sudah tentu, Najwa tidak pernah lupa bagaimana Ustazah Hani sanggup menjejakkan kaki ke pejabat mama menghantar surat yang di tujukan buat mama. Surat permintaan hati Najwa untuk mamanya. Dalam gelisah, Najwa sebenarnya ternanti-nanti reaksi mama setelah mendapat surat itu.


"Najwa Binti Abdullah, ada pelawat sedang menunggu.."

Lamunan Najwa terhenti mendengar namanya di sebut. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya. Di suatu sudut, Ustazah Hani menyambut Najwa sambil tersenyum. Dia memeluk ustazah Hani kegirangan.

"Ustazah seorang saja?" soalnya.
"Tak, berdua. Mari Najwa, kawan ustazah nak sangat berjumpa dengan Najwa,"

Ustazah Hani memimpin tangan Najwa. Di kejauhan, seorang wanita berjubah dan bertudung labuh berwarna merah jambu menyambut kedatangan Najwa,

"Assalamualaikum, apa khabar anak mama?"

Najwa terdiam kaku seakan-akan tidak percaya apa yang di lihatnya. Perlahan-lahan airmata kesyukuran jatuh dari pelupuk mata Najwa...

*******************************************************************************


Assalamualaikum,

Segala puji Najwa panjatkan kehadrat Allah ta’ala yang telah membuka ruang untuk Najwa mengenaliNya. Serta selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah SAW.Semoga Mama juga sentiasa di limpahi rahmat Illahi.

Mama,

Surat ini Najwa tujukan buat insan yang melahirkan Najwa di dunia, yang bertungkus-lumus berkerja siang dan malam demi memenuhi semua keperluan Najwa, dan melimpahi Najwa dengan seluruh kemewahan tanda kasih sayang. 

Mama,

ketika kawan-kawan sudah mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran, Najwa hanya mampu mendengar dan memerhati. Najwa juga sering melihat keluarga jiran berjalan bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat jemaah bersama-sama. beribadah bersama-sama. Alangkah penuh bermakna hidup mereka mama, sedangkan Najwa tiba-tiba merasakan hidup Najwa kosong, dan entah kenapa hati Najwa tidak pernah merasakan ketenangan walaupun dikelilingi kemewahan yang mama berikan.

Mama,

Maafkan Najwa mama,sekali-kali tidak pernah Najwa kesali memiliki Mama sebagai ibu Najwa, siapalah Najwa untuk menegur Mama yang memiliki pengalaman hidup yang jauh lebih banyak berbanding Najwa.Walaupun, sepanjang hidup Najwa, mama tidak pernah membekalkan Najwa dengan ilmu akhirat, kita tidak pernah solat dan membaca Quran bersama dan mama tidak pernah mengenalkan Najwa tentang apa itu aurat, rukun islam, rukun iman, bahkan tidak pernah mengajarkan Najwa apa itu Islam walaupun pada hakikatnya kita beragama Islam.Semuanya Najwa peroleh sendiri di sekolah.

Tapi, mama,Najwa masih bersyukur, kerana mama daftarkan Najwa di sekolah ini, sehingga Najwa berkenalan dengan Ustazah Hani.Dialah yang bayak membimbing Najwa mendalami Islam. Terima Kasih, Mama. Najwa sayang Mama.

Mama,

Alangkah indahnya jika kita bukan sahaja dilimpahi dengan kemewahan dunia, bahkan turut dilimpahi dengan kemewahan akhirat yang pastinya membawa kita kepada kebahagiaan di syurga. InsyaAllah mama, Najwa sedang mencari kemewahan akhirat dengan bimbingan Ustazah Hani. Namun, Najwa tidak mahu mencari kemewahan akhirat bersendirian, Najwa inginkan Mama sentiasa ada di sisi Najwa.Marilah kita kejar kemewahan ini bersama-sama. Kemewahan yang akan membawa kita kepadaNya.

Sampai di sini dahulu yang mampu Najwa coretkan.Sekali lagi maafkan Najwa sekiranya isi surat ini menyinggung perasaan mama. Semoga Allah memberkati Mama selalu.

Salam sayang dari anakmu:

Najwa Binti Abdullah







Apa kata anda:

2 comments: