Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Tuesday, November 1, 2011

EMPAT MUSIM DALAM PERJUANGAN



MUSIM PANAS

MUSIM LURUH

MUSIM SEJUK

MUSIM BUNGA

Cantik kan? teringin nak tengok dan lalui empat musim ni secara 'live'. Subhanallah, sungguh indah ciptaanMu. Tiba-tiba teringat dengan lagu "lukisan alam" dendangan kumpulan nasyid Hijjaz. Dalam lirik lagunya ada menyebutkan,

Hidup tidak selalunya indah,
Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang,
Itulah lukisan alam,
Begitu aturan Tuhan.

Sepertimana empat musim yang sentiasa berubah rona dan suasana seiring masa yang berlalu, demikianlah suasana perjuangan di dunia yang fana ini. Berjuang ibarat melangkah melewati empat musim yang berlalu tanpa berhenti, kerana titik akhirnya kematian.

Perjuangan seterik mentari yang bersinar garang pada musim panas, menyengat para penda'ie. Adakalanya kita keletihan berjalan dalam suasana terik mencengkam, namun perlu terus melangkah walaupun kehausan. Jika tidak cukup bekalan, lemah lah kita tanpa tenaga sebelum sampai ke destinasi dengan selamat.

Kemudian tiba pula musim luruh. Jiwa dan perasaan dilanda dilema hebat tika hubbun dunia merayu-rayu minta berputus  asa. Teruji ketabahan diri, tercabar kesabaran, bisa tercalar keteguhan jiwa yang tidak seberapa. Luruhlah hati-hati yang tidak kukuh meyakini Penciptanya. Mati sebelum ajal menjemput. Maut sebelum nafas terputus. 

Habis beberapa purnama musim luruh berlalu digantikan dengan musim sejuk. Sekali lagi fatamorgana dunia melalaikan dan menipu daya para pejuang. Leka dengan hiburan dan keasyikan duniawi, hinggakan ada juga yang tersungkur, ramai yang futur. Langkah di atur semakin pudar hala tuju, semakin tidak teratur. Semakin lari dari matlamat. Habis terkulai janji dan amanah, akhirnya tersungkur kaku dan beku, tidak lagi mampu bergerak.

Namun beruntunglah sesiapa yang berjaya menjejakkan kaki melangkah ke musim bunga, indah dan mendamaikan. Lebih beruntung sesiapa yang mejiwai hidup bersama Illahi, kemana pun dia melangkah, pasti baginya musim bunga yang berpanjangan, kerana dia bahagia hidup bersama-sama Penciptanya, hidup berjuang kerana Penciptanya.

Dalam susah, 
Hitunglah kesyukuranmu,
Dalam senang,
Awasi kealpaanmu,
Setitis derita melanda,
Segunung kurniaanNya..


Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-Baqarah: 155-157)


"Sungguh unik perkara orang mukmin, sesungguhnya semua perkaranya adalah baik. Jika ia mendapat kebahagiaan, ia bersyukur dan jika ia mendapat ujian ia bersabar, maka (hal itu) merupakan kebaikan baginya.” (HR.Muslim)



Apa kata anda:

0 pelajar nak bagi pandangan:

Post a Comment