Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Sunday, June 26, 2011

UNTUKMU YANG BERGELAR SENIOR DAN JUNIOR


18 Jun..

Cepat, andaikata masa diperbandingkan dengan emas permata, tentulah tidak ternilai harganya.. Sebak meninggalkan rumah, di sambut dengan kebahagiaan suasana bumi tarbiyah tercinta. Walaupun penerbangan di tangguhkan sebanyak tiga kali hari itu, terasa gagah pula kaki melangkah, mendaki bilik baru di aras 3..Bagi ana, IPIS ada auranya tersendiri.. tempat di mana ana dan para sahabat menimba ilmu seoptimum yang termampu.

Semester baru ini ada yang bakal masuk menambah bilangan kami di sini.. Dalam sedar tak sedar.. Cik Dinul Huda dah jadi senior rupanya.. =).. Begitulah, adat asrama.. ada senior, ada junior, memang dah jadi tradisi la kiranya.. dan tradisi ni ana dah amalkan berzaman.. semenjak sekolah menengah.. dah hampir 7 tahun dengan adat dan budaya asrama.


Teringat kisah dahulu, kisah kepala kena hentak dengan rehal, gara-gara lembap sangat hafal ma'thurat, kisah teman sekelas yang makan maggi sorok-sorok bimbang senior datang 'menyerang', kisah colgate melekat di batang hidung menjelang malam sambutan hari lahir.. kisah para senior yang beramai-ramai menegur adik-adik yang bermasalah dalam satu perjumpaan.. Dalam banyak-banyak kisah hostel, seniorlah yang dilabel jahat, yang di cop pembuli. Tapi, yang luar biasa, rupa-rupanya kes-kes junior buli senior pun ramai juga..aduhh... (=_=').. tapi, apa nak hairan sangat, sekarang, anak pun dah pandai belasah orang tua.. 


BUAT YANG BERGELAR JUNIOR



Buli.. satu alasan yang selalu digunakan bagi yang enggan melalui kehidupan hostel, mungkin trauma,mungkin juga takut, macam-macamlah hujahnya..bak kata sesiapa yang 'agaknya' berpandangan lebih jauh, dunia ini memang selalu tidak adil.. kita baik, kita dipijak, kita jahat kita dihukum.. kalau hendak diikutkan, manusia difitrahkan dengan perasaan suka akan keindahan, suka mencari kedamaian..


Kita ingin segalanya indah
Sebersih pasir pantai memutih
Seindah dan secerah pewarna
Berseri ukhwah dipupuk kasih

Kita ingin segala terlerai
Dengki dan dendam kesumat musnah
Biar keihklasan berbicara
Di dada hati luas saujana..

Begitulah manusia, dan jika di amati, fitrah yang dijadikan itu merupakan bukti kasih sayang Allah kepada kita.. Masih ingatkah lagi kita tentang hadis kekasihNya yang berbunyi;

"Sesungguhnya Allah itu cantik, dan suka akan kecantikan" (riwayat Al-Bazzar)




Subhanallah, sesungguhnya sifat indah dan sukakan keindahan itu merupakan sifat Sang Maha Pencipta, yang difitrahkan kepada kita. Lihatlah, betapa kita sebenarnya begitu dekat dengan Tuhan yang menciptakan kita.Tapi, wajarkah kita menghukum dunia dengan menuduhnya tidak berlaku adil kepada kita? jadi, siapakah yang menciptakan dunia? bukankah tuduhan itu secara langsung mengena kepadaNya   kerana Dia lah yang menciptakan dunia yang tidak adil ini? Surah Al-Baqarah ayat 30:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui dengan apa yang diciptakan olehNya. Begitulah juga dengan dunia, di ciptakan dunia ini dengan penuh pagar rintangan bertujuan untuk menguji manusia, bersifat penjara bagi orang mukmin, dan hiburan bagi yang terleka. Maka wajar, mukmin sejati itu merasakan betapa seksanya hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba dan sentiasa mencari ketenangan serta sakinah yang hanya akan dimiliki apabila kita berjalan menuju Allah, Sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran surah al-Fath, ayat 4 bermaksud:

Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan di hati orang-orang mukmin

 Begitulah adik-adik junior yang dikasihi,

Apabila kita selangkah mencari ketenangan yang sejati, apabila kita tahu hakikat ketenangan, di mana dan siapa pun kita, apa pun ujiannya, datanglah badai dan taufan sekalipun, segalanya ada hikmah hadiah dari Sang Maha Pencipta, maka kita akan redha dengan ketentuanNya. Jika hari ini seorang senior datang membuli anda, perkara itu tidak akan terjadi tanpa izin dariNya, jikapun ia berlaku, pasti ada sesuatu yang kita terlepas pandang. Mungkin ianya kifarah dari Allah, yang datang dengan sejuta hikmah yang bersemi bersama tanpa kita sedari kewujudannya. Ingatlah, maksud dari  surah al-Baqarah ayat 286 berbunyi;

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya


 

Mulai hari ini, berjalanlah dengan penuh yakin, kerana kita hidup bersama Illahi, usah gentar dan usah takut melainkan denganNya. Bangkit dan berjuanglah kerana ujian  itu bukti kasih sayangNya.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (jika kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).- Al-Baqarah: 214


BINGKISAN UNTUK SENIOR 




Seringkali kita mendengar bahawa perumpamaan hidup ini bagaikan roda yang berputar. Adakalanya kita di bawah, adakalanya kita di atas. Hakikatnya, tidak kira dimana jua kedudukan kita, yang membezakan hanyalah iman dan taqwa. Justeru usahlah kita merasakan diri kita besar, hanya kerana kita sudah 'naik satu lagi anak tangga' kemudian bergelar senior.Wajarnya jika hidup ini diumpamakan seperti roda, pasti suatu hari nanti roda itu akan berhenti berputar, ianya akan menjadi buruk, rapuh dan hancur di mamah masa hinggakan suatu saat, pastinya sisa roda itu juga akan hilang begitu sahaja.Jadi, berapa banyak lagi masa yang kita ada sebelum roda itu menjadi rapuh?



Kehadiran junior merupakan titik bermulanya tanggungjawab kita ke atas mereka yang baru hendak belajar merangkak, jadi pimpinlah dan ajaklah mereka untuk berlari bersama-sama kita, mengejar dan mencapai pelangi mardhatillah.Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang berjaya.

Perbuatan buli, dan khianat hanyalah umpama roda yang ingin berputar di atas jalan berduri. Mungkin jalannya luas, tetapi durinya menikam diri. Mungkin kita berasa hebat, rasa berkuasa, sedangkan hakikatnya, kita sedang menyakiti darah daging kita sendiri,bukankah kita berasal daripada nenek moyang yang sama? dan bukankah kita sepatutnya bersifat saling kasih-mengasihi? Maka sejarah hitam Habil dan Qabil berulang lagi..apabila saudara sendiri memusnahkan saudaranya.

Buat para senior, kembalilah kepada fitrah berkasih sayang, ingatlah sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Dari An-Nu’man bin Basyir r.a barkata, Rasulullah berkata, perumpaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, saling menyayangi dan kasih mengasihi adalah seperti satu tubuh, dimana apabila ada salah satu anggota tubuh yang mengaduh kesakitan maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakannya iaitu dengan tidak bisa tidur dan merasa demam.

( Bukhari Muslim).

Mungkin hari ini si pembuli tidak merasa apa-apa kesan, tetapi tunggulah sehingga datang pembalasan daripada Allah. Jadi, jika hari ini junior itu melakukan kesalahan, belajarlah untuk memaafkan, belajarlah untuk menegur secara berhikmah dan pada masa yang sama, belajarlah untuk menginsafi segala keterlanjuran kita. Manusia di jadikan lemah dan memiliki sifat ketidak sempurnaan. Seringkali ada sahaja kesilapan yang dilakukan mengingatkan kita bahawa kita bukanlah seperti Rasulullah yang bersifat maksum. Begitulah, Allah menjadikan kita berbeza-beza sehingga apabila kita bersatu maka kita akan saling melengkapi antara satu sama lain.




Cuba bayangkan sekiranya kita yang sepatutnya menjadi suri teladan yang baik kepada adik-adik menunjukkan kelakuan-kelakuan buruk, akhirnya perkara itu menjadi ikutan, tatkala itu, saham dosanya akan menarik kita ke lubang neraka. Bayangkan.. perbuatan orang lain, tetapi oleh kerana kita yang memulakannya, dosa yang diperoleh insan tersebut dikongsi bersama. Apalah maknanya kehidupan kita, bila kita di kenang di atas keburukan , bukan kebaikan yang kita lakukan..


roda yang berputar pastinya mempunyai satu destinasi utama, tetapi sekiranya roda itu menyimpang menuju ke tempat lain yang kurang penting sebelum tiba ke destinasi yang dituju, pastinya minyak yang digunakan untuk membuatkan roda itu berjalan akan habis tanpa kita sempat tiba ke destinasi tujuan akhirnya. Begitulah juga perumpamaan hidup kita dan taubat.. sekiranya kita menghabiskan hayat dengan melakukan perkara-perkara yang mungkar, takut nanti kita akhirnya meninggalkan dunia yang fana ini dengan tidak sempat memohon ampun dan taubat dariNya.. 

ANA, ANTUM & KITA SEMUA







Segala puji jualah bagiNya, atas limpahan dan timbunan rahmat, ana, antum dan kita semua di beri kesempatan untuk bertemu dalam suasana yang indah, dan tempat yang penuh barakah. Sama ada ana, atau antum, kita semua tidak tahu sehingga bila kita diberi peluang untuk bersama-sama dalam halaqah tarbiyah ini. Entah esok atau lusa, ada dalam kalangan kita yang terpaksa pergi dahulu. Marilah kita sama-sama bersyukur atas rahmat yang Si Dia berikan untuk kita hambaNya.. kerana FirmanNya:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Ibrahim:7)


Apabila wujud rasa bersyukur maka akan bertambahlah rasa berTuhan seorang muslim. Bertitik tolak daripada itu, kita secara langsung membina kekuatan untuk lebih dekat dengan Allah yang akhirnya terbias menjadi mukmin yang  profesional, sebagaimana yang di ceritakan oleh  Rasulullah sendiri:

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia tertimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.”            (HR. Muslim)
WaLlahualam...












Apa kata anda:

0 pelajar nak bagi pandangan:

Post a Comment