Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Monday, May 23, 2011

STUDY MOOD: MARI BELAJAR NASIKH & MANSUKH



PENDAHULUAN

Matlamat Allah menurunkan syariat islam kepada Rasulullah adalah untuk menyelamatkan umat islam dalam urusan kehidupan. Dalam hal ibadah dan muamalat, dasar amnya adalah sama iaitu bermatlamat untuk membersihkan jiwa. Walau bagaimanapun, kedaan setiap umat kadang-kadang berbeza antara satu sama lain. Apa yang sesuai untuk sesuatu kaum pada suatu masa yang lain tidak lagi munasib pada suatu masa yang lain.

Oleh itu, wajarlah Allah SWT menghapuskan sesuatu hukum yag di wahyukan kepada rasulNya kemudian menggantikan hukum tersebut dengan yang lain demi kemaslahatan hamba-hambaNya berdasarkan IlmuNya yang luas dan kekal, sama ada yang berkait dengan masa yang silam mahupun yang akan datang, berdasakan keyataan ini, perlu diketahui hanyalah Dia sahaja yang berkuasa dan layak menggantikan hukum yang telah disyariatkan.




PENGERTIAN NASAKH & MANSUKH

Naskh dari segi bahasa bermaksud menghilangkan. perkataan ini juga antara lainnya bermaksud memindahkan sesuatu kepada sesuatu tempat lainnya. 

Menurut istilah pula, naskh bermaksud mengangkat (menghapuskan) hukum syara' dengan dalil hukum syara' yang lain. Perkataan mansukh yang berasal daripada kata dasar yang sama pula bermaksud sesuatu hukum yang di angkat atau yang dihapuskan


SYARAT-SYARAT NASAKH MANSUKH

Terdapat beberapa syarat berlakunya nasakh dan mansukh. Antaranya:

1. Hendaklah hukum yang mansukh adalah hukum syara'
2. Hujah penghapusan hukum tersebut hendaklah di turunkan terkemudian daripada hukum yang mansukh 
3. Perintah atau larangan yang mansukh tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu.
4. Hanya berlaku pada perkara perintah dan larangan.
5. Tidak menyentuh masalah akidah, Zat dan sifat-sifat Allah,serta para rasulNya serta kejadian hari akhirat kerana perkara-perkara ini tetap dan tidak berubah
6. Tidak juga berhubungkait dengan etika dan akhlak serta perkara-perkara asas dalam ibadah dan muamalat


PEDOMAN NASAKH MANSUKH DAN MANFAATNYA

Pengetahuan mengenai ilmu nasakh dan mansukh mempunyai fungsi yang besar bagi para ilmuan islam kerana ianya diperlukan agar masalah berkenaan hukum menjadi jelas. Terdapat beberapa kaedah untuk mengetahui nasakh dan mansukh. Antaranya:

1. Penjelasan yang tegas daripada Rasulullah ataupun para sahabat. Contoh sepertimana hadis:

Aku pernah menegahmu berziarah kubur, maka (kini) berziarahlah kubur (HR. Hakim)

2.Kesepakatan umat bahawa ayat ini nasikh dan yanng itu mansukh (berdasarkan pengetahuan daripada ulama-ulama yang arif tentang ilmu nasakh mansukh)

3.Mengetahui mana-mana ayat atau hukum yang terlebih dahulu turun dan yang mana akhir mengikut sejarah.

 *Nasakh tidak dapat ditetapkan berdasarkan ijtihad, pendapat mufassir kerana hanya Allah sahaja yang berhak menasakhkan sesuatu hukum dan Dia sahaja yang mengetahui asbabnya.




PELBAGAI PENDAPAT  MENGENAI NASAKH & MANSUKH SERTA DALIL KETETAPANNYA

Pendapat Orang Yahudi

Yahudi mengiktiraf adanya nasakh kerana menurut mereka, nasakh mengandungi konsep al-bada', yakni muncul selepas tersembunyi. Menrurt konsep ini, bangsa Yahudi mempercayai nasakh terjadi dengan tidak mempunyai hikmah disebaliknya, dan terkadang juga terjadi kerana adanya sesuatu hikmah yang sebelumnya tidak nampak. Hal ini bercanggah dengan sifat Allah yang bersifat Maha Mengetahui tentang sesuatu perkara dan cara berhujah mereka ini tidak dibenarkan.

Orang Yahudi mengakui bahawa syariat Nabi Musa menghapuskan syariat sebelumnya, sedangkan nasakh dan mansukh tidak sama sekali menyentuh berkenaan dengan asas-asas ibadah dan muamalah. 


Pendapat Golongan Syiah Rafidah

Puak syiah ini sangat berlebihan dalam menetapkan nasakh. Mereka menggunakan kata-kata dusta yang disandarkan kepada Saidina Ali serta turut menggunakan firman Allah sebagai alasan:

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendaki olehNya. (Ar-Ra'd: 39)

Berdasarkan ayat ini, puak syiah rafidah berpendapat Allah sentiasa boleh menghapuskan dan menetapkan mana-mana ayat. Fahaman seperti ini sesat lagi menyesatkan serta terpesog dari ajaran Al-Quran. Maksud sebenar ayat ini adalah Allah menghapuskan sesuatu yang dipandang perlu dan menetapkan penggantinya jika ianya megandungi maslahat.


Pendapat Abu Musa al-Asfahani


Beliau adalah pemegang mazhab mu'tazilah. Menurut beliau, nasakh boleh berlaku secara aqliah, tetapi tidak pada syara'. Ada yang mengatakan Abu Musa menolak sepenuhnya berlakunya nasakh dan mansukh dalam al-Quran berdasarkan firman Allah
(Al-Quran) yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan yang Maha Bijaksana Lagi Maha Terpuji (Fussilat:42)
Berdasarkan dalil ini, hukum-hukum  dalam Al-Quran menurut beliau tidak akan dibatalkan untuk selamanya. dan ayat-ayat tentag nasakh di anggap sebagai takhsis (pengkhasan, pengecualian)

Pendapat ini juga tidak boleh di terima kerana maksud sebenar ayat yang menjadi hujah Abu Musa menyatakan bahawa tidak ada kitab-kita samawi yang membatalkan Al-Quran dan tidak ada sesuatu yang datang sesudah Al-Quran untuk membatalkannya.

Pendapat Jumhur Ulama



Jumhur berpendapat nasakh adalah perkara yang diterima akal dan telah pun berlaku dalam hukum-hukum syariat. Ini adalah kerana:

a. Perbuatan-perbuatan Allah tidak bergantung dengan sesuatu alasan ataupun matlamat. Allah berhak memerintahkan sesuatu pada suatu masa, kemudian menegahnya pada masa yang lain berdasarkan sifatNya yang Maha Mengetahui tentang kemaslahatan hamba-hambaNya.

b. Nas-nas Al-Quran yang menunjukkan berlakunya nasakh:

 وَإِذَا بَدَّلْنَا آيَةً مَّكَانَ آيَةٍ ۙ وَاللَّـهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوا إِنَّمَا أَنتَ مُفْتَرٍ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ١

dan apabila Kami tukarkan satu ayat (al-Quran ) untuk menggantikan ayat yang lain, (yg di mansukhkan)
dan Allah memang mengetahui akan apa yang diturunkan olehNya. Makan berkata (merek yg kafir): sesungguhnya engkau (whai Muhammad) hanyalah seorang pendusta, sedangkan mereka (yg kafir itu) tidak mengetahui hakikat sebenarnya" (An-Nahl: 101)

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 106 dinyatakan:


 مَا نَنسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَا أَوْ مِثْلِهَا ۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ



"apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau Kami tinggalkan (atau tangguhkan), kami datangkan ganti yang lebih baik darinya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas tiap2 sesuatu?"

Dalam sebuah hadis sahih daripada Ibnu Abbas r.a: Umar r.a berkata:

Orang yang menguasai al-Quran antara kami adalah Ubai. Tapi kami meninggalkan sebahagian daripada perkataannya, dia mengatakan: "aku tidak akan meninggalkan sedikitpun apa yg pernah aku dengar daripada Rasulullah, padahal Alah telah berfirman: (surah al-Baqarah: 106)



PEMBAHAGIAN NASAKH

Nasakh terbahagi kepada 4 bahagian:

1. Nasakh Al-Quran dengan Al-Quran
2.Nasakh Al-Quran dengan As-Sunnah:

a. Al-Quran dengan hadis Ahad

*jumhur berpendapat al-Quran tidak boleh di nasakh dengan hadis ahad, kerana Al-Quran bersifat mutawatir dan pasti sedangkan hadis ahad bersifat zanni (teragak-agak).

b.al-Quran degan hadis Mutawatir

*nasakh ini  di akui oleh ulama (Malik, Abu Hanifah dan Ahmad) dlm satu riwayat, kerana keduanya adalah wahyu. firman Allah:

"Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah"(An-Najm: 4-5)

*akan tetapi, nasakh jenis ini ditolak oleh as-syafie, Zahiri dan Ahmad(dlm riwayatnya yg lain) dengan berpegan kepada ayat 106 surah al-Baqarah yang menyatakan apa yang menasakh hukum terdahulu mestilah sama hebat atau lebih baik martabatnya. Sedangkan hadith bermartabat lebih rendah daripada Al-Quran.


3. Nasakh Sunnah dengan Al-Quran.

Disepakati boleh berlaku oleh jumhur ulama. contoh:

kiblat yg pada mulanya di tetapkan menghadap Baitul Maqdis dengan sunnah, dinasakhkan dengan ayat Quran surah al-Baqarah ayat 144:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّـهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ


"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan."

contoh lain: Kewajipan puasa pada hari asyura yang pada mulanya di tetapkan oleh sunnah kemudiannya di nasakh dengan ayat 185 surah al Baqarah:

 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."

4. Nasakh Sunnah dengan Sunnah:

a. sunnah mutawatir dengan mutawatir
b. ahad dengan ahad
c.ahad dengan mutawtir
d.mutawatir dengan ahad

tiga daripada jenis nasakh ini tidak di tegah kecuali mutawatir dengan ahad yang di tegah oleh jumhur.



PEMBAHAGIAN NASAKH AL-QURAN DENGAN AL-QURAN




Di dalam al-Quran, terdapat 3 pembahagian nasakh yang berlaku:


1. Nasakh yang di hapuskan tilawah dan hukumnya
2.Hukumnya di hapuskan sedangkan tilawahnya tidak.
3. Tilawahnya di hapuskan, tetapi hukumnya kekal


JENIS-JENIS NASAKH

Nasakh tanpa pengganti

Contoh: penghapusan mengenai kewajipan bersedekah sehelum menghadap Rasulullah sepertimana firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَاجَيْتُمُ الرَّسُولَ فَقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ نَجْوَاكُمْ صَدَقَةً ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَأَطْهَرُ ۚ فَإِن لَّمْ تَجِدُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

ayat ini kemudian mansukh dengan ayat ke 13 surah yang sama:

أَأَشْفَقْتُمْ أَن تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ نَجْوَاكُمْ صَدَقَاتٍ ۚ فَإِذْ لَمْ تَفْعَلُوا وَتَابَ اللَّـهُ عَلَيْكُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ وَاللَّـهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

"Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan"


Nasakh dengan pengganti yang lebih ringan

Surah Al-Baqarah ayat 183:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa"

Keterangan ayat:

puasa ahli kitab sebelum kedatangan islam ialah diharamkan makan dan minum, dan bercampur dengan isteri-isteri atau suami mereka sehari semalaman sehingga malam-malam yang berikutnya.

Hukum ini mansukh dengan hukum yang lebih ringan pada ayat 187 surah Al-Baqarah:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّـهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗكَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa"


Nasakh dengan pengganti yang sebanding

Kiblat asal menghala ke Baitul Maqdis mansukh dengan ayat 144 Surah Al-Baqarah yang mengarahkan umat islam menghadap ke Kaabah:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّـهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan."

Nasakh dengan pengganti yang lebih berat

Misalnya, penghapusan hukuman mengurung di rumah bagi para isteri yang berzina dalam surah an-Nisa' ayat 15:

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ ۖ فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّـهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

"Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu)."

mansukh dengan hukuman sebat pada Surah An-Nur, ayat 2:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman"


PERMASALAHAN DI SEKITAR NASAKH DAN MANSUKH

Sikap para ulama yang berbeza:

a. ada yang berlebih-lebihan sehingga memasukkan kedalam kelompok nasakh sesuatu yang tidak ada kaitan dengannya

b. ada yang sangat berhati-hati, mendasarkan nasakh dengan riwayat yang sahih

Punca ketidak jelasan bagi kelompok yang berlebih-lebihan:

1. menganggap takhsis juga sebagai nasakh
2.menganggap bayan (penjelasan) sebagai nasakh
3. menganggap ketentuan yang disyariatkan dalam sesuatu peristiwa yang kemudian sebab itu hilang sebagai mansukh
4.menganggap tradisi jahiliah yang dihapuskan dengan kedatangan islam sebagai nasakh


HIKMAH NASAKH

1.Menjaga kemaslahatan hambaNya
2. Perkembangan hukum-hukum syariat sesuai ke arah tingkat kesempurnaan dan perkembangan dakwah serta keadaan umat islam
3.Sebagai ujian bagi mukallaf sama ada tetap patuh kepada Allah atau tidak 
4. Menjaga kepentingan hambaNya


Apa kata anda:

2 comments:

  1. boleh x bg link ker atau tunjukkan contoh ayat-ayat yang dinasakhkan..... nasakh al-quran dengan hadis, nasakh hadis dengan al-quran dan nasakh hadis gan hadis.....
    cari buku utk ni x jumpe lar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Enta try cari buku pengantar ulum qur'an.. bukunye warna kuning, kulit keras.. cumanya buku tu bahasanye agak sukar utk faham, jd ana ringkaskan untuk post ni..

      Delete