Aku bertatih bukanlah kerana nama.. tetapi kerana akulah Serikandi Agama..

Thursday, June 3, 2010

NASYID: ADAKAH MENCAPAI MATLAMAT?

Nasyid merupakan nyayian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah para nabi, memuji Allah dan yang seumpamanya.


Menurut Kamus Dewan ( hal: 923) Nasyid ialah lagu yang biasanya dinyayikan secara kumpulan yang mengandungi seni kata yang berunsurkan Islam.

Hj Jalidar Abdul Rahim menjelaskan masyarakat Arab pada zaman dahulu melagukan syair yang bertemakan Munajat dan Selawat dan kerap memilih lagu Arab Misri. Sumber maqam lagu Arab yang digunakan untuk membaca ayat suci Al-Quran dan nyayian lain berunsurkan Islam yang terdengar melalui nasyid dan qasidah sekarang kebanyakkanya datang daripada aliran Arab Iraqi,Hijazi dan Misri disamping tujuh lagi maqam iaitu Banjakka, Hijaz, Musyawaraq, Ras, Jaharka, Sika dan Dukah.

Istilah nasyid menurut masyarakat Indonesia , adalah ganti dari kata qasidah sebagaimana yang dimaklumi di daerah Sumatera dan Kalimantan. Bahkan di daerah-daerah lain ada yang menyebutnya sebagai Tagoni, Samrahan dan sebagainya. Namun jika ditinjau dari bahasa Arab nasyid berasal dari kata nasyada yang bermaksud membangkitkan, memberikan semangat, meneriakkan dan lain-lain.

Sesungguhnya istilah Nasyid telah muncul dalam kebudayaan Arab Islam sejak abad 3H/9M dan terus berkembang dari masa ke semasa.

Pada hari ini, nasyid tidak lari dari terus dianggap sebagai wadah untuk mesej Islam disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Perubahan selera masyarakat di dalam cita rasa seni mereka, diambil oleh kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari sebagai faktor yang menuntut mereka agar turut berubah dan mengejar trend masyarakat. Dengan cara itu, nasyid boleh tampil dengan imej yang lebih dekat dengan remaja. Dalam erti kata yang lain, perubahan irama nasyid hari ini, dianggap sebagai justifikasi dakwah yang hikmah. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu adalah mengungkapkan mesej Islam dalam bentuk yang menepati sasaran dakwah, iaitu pendengar nasyid. Nasyid kontemporari dengan genre hiphop dan rock ditujukan sebagai dakwah kepada generasi muda yang hiphop dan rock.

Akan tetapi, kepelbagaian irama nasyid kontemporari ini masih terus menimbulkan perbagai persoalan yang wajar diberi perhatian. Sekurang-kurangnya terdapat dua persoalan utama yang menuntut analisa secara mendalam iaitu:


1. Sejauh manakah nasyid di Malaysia hari ini terus relevan sebagai medium dakwah Islam kepada masyarakat?

2. Sejauh manakah nasyid di Malaysia ini boleh menjadi sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai seni bunyi dan muzik Islam?

“Berapa ramai non muslim yang tertarik dengan Islam melalui nasyid, entah-entah takde”, kata seorang ustaz di tempat saya.

sikap dan kelakuan sebilangan penasyid-penasyid yang saya kenali tidak menggambarkan yang ‘mereka’ seorang penasyid yang sebenar. ‘Mereka’ tidak layak. Nak dijadikan contoh yang baik kepada mahasiswa kampus apatah lagi. Ia menyakitkan. Sedangkan sepatutnya ‘mereka’ ini menjadi ‘role-model’ kepada yang lain. Ada yang bagus. Tidak saya nafikan. Yang selalu solat jemaah di masjid, yang hebat akhlaknya, akademiknya, dan imejnya. Akan tetapi, bilangannya kecil. Allahuakbar… Penasyid juga seorang pendakwah. Penasyid juga WAJIB berkelakuan seperti seorang pendakwah. Berimej seperti seorang pendakwah. Bercakap seperti seorang pendakwah. Bukankah tujuan bernasyid untuk menyampaikan mesej-mesej yang baik? Bukankah orang atau kumpulan yang menyampaikan mesej yang baik juga harus baik secara keseluruhannya? Nah! Berusahalah.. Kita sama-sama usaha.




“Tak dapat buat semua, jangan tinggal semua”. Nasyid masih tetap medium dakwah kepada masyarakat Islam amnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Biarpun peranannya dalam menyebarkan mesej Islam sering dipertikai, namun ia wajar diteruskan. Diteruskan dalam erti kata perlu kepada penambahbaikan dan perubahan yang positif agar ia terus relevan sebagai salah satu metod dakwah. Kepada penasyid-penasyid, jaga tingkahlaku, imej, peribadi, amal dan sikap anda. Masyarakat melihat anda dan saya pasti anda tahu anda diperhatikan. Janganlah dek kerna degil dan keras kepala kita, ia menjadi fitnah kepada agama dan dakwah itu sendiri.

renungkanlah firman Allah dalam surah As-saff: 3,4:


“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Apa kata anda:

0 pelajar nak bagi pandangan:

Post a Comment