Categories

Sunday, May 27, 2012

FENOMENA INI...

Assalamualaikum...

Post kali ni, simple je.. Tetibe je terfikir nak share dengan antum semua. Sebenarnya ni pasal satu situasi yang berlegar-legar di sekeliling ana.. dan... mungkin antum semua juga. Bila teringat nak post pasal perkara ni, tiba-tiba ana teringat kata-kata ustaz ana semasa ucapan beliau:

"trend orang sekarang, ramai yang berlari-lari nak masuk ke neraka, jenuh nak tarik masuk syurga."


Riuh rendah seluruh dewan dengan tawa ratusan guru pelatih mendengar ucapan ustaz itu. Dalam bingit tawa, bagi ana sendiri, ucapan berunsur humor itu berbaur peringatan kepada pendengarnya. Dalam bahasa jenaka yang ringkas, sebenarnya ustaz itu menunaikan tuntutan amar makruf nahi munkar di dalam ucapannya, juga mengajak kami bersama-sama melaksana tuntutan itu. Firman Allah swt dalam Surah Ali Imran ayat 104:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya".



PUTARAN RODA ATAU SISTEM 'SWITCH'??

Kita kembali bercakap mengenai situasi-situasi yang berlegar-legar disekeliling ana, tapi, sebelum ana cerita, tengok ni:






Alhamdulillah, dah ramai mereka yang telah mendapat hidayah daripada Allah. Masing-masing melakukan perubahan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Menyedari hakikat sebenar kehidupan insani:

 “dan tidaklah  Kuciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.” (surah Az-Zariyat:56)

Apabila bercerita tentang kuasa veto Allah yang memberikan hidayah teringat tentang bagaimana Baginda s.a.w yang cuba mengislamkan pak cik kesayangannya Abu Talib. Namun, apakan daya Baginda juga seperti kita, hamba Allah yang hanya mampu menunjukkan jalan.

Akhirnya, Abu Talib meninggalkan anak buah kesayangannya didalam kekufuran. Sirah ini masyhur. Hampir setiap tafsir menceritakan kisah apabila tiba di ayat 56 dari surah Al-Qasas, yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”

Dalam suasana bahagia dan penuh bersyukur tatkala kita melihat ramai yang kembali kepada Islam, mahu menjunjung penuh kesyumulan dan membela kesuciannya, kita juga melihat bagaimana segelintir kelompok yang lahir dan dibesarkan dalam didikan Islam kelihatan sedikit demi sedikit meninggalkan ajaran agama tercinta. Yang lebih menyedihkan, sebahagian daripada mereka sanggup pula menjual agama demi kepentingan keduniaan, demi kebebasan yang sementara di dunia, padahal asalnya mereka merupakan golongan-golongan berstatus 'ahli agama'. Sebak hati mendengar dan melihat kehanyutan mereka, lagi sebak mendengar mereka terus-menerus menjadi  fitnah kepada Agama Islam sendiri, sedangkan suatu masa dahulu, merekalah yang mengajak insan lain agar kembali kepada Islam. Firman Allah dalam surah As-Saff, ayat 2-3:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Nauzubillah min zalik...

Setengah-setengah orang kata, hidup ini umpama putaran roda, tapi, bagaimana jika roda itu terhenti sebelum sempat ia berputar kembali? Adakah ianya akan terus kekal dan bertukar menjadi sistem 'switch'?

Allahurabbi...

Semoga kita semua tergolong daripada hamba-hambaNya yang mendapat rahmat dan hidayah, serta keampunan dariNya hingga ke akhir hayat. Amin, Ya Rabb..









Saturday, January 28, 2012

WARKAH BUAT MAMA


Melepaskan lelah usai menyiapkan rancangan pengajaran harian yang bakal dilaksana pagi esok.Seketika aku memandang pada kehijauan padang rumput yang seluas mata memandang. Murid-muridku ada yang masih tidak pulang ke rumah kerana terlalu asyik bermain bersama-sama di padang tersebut. Melihat keghairahan mereka berkejaran ke sana-sini, sedikit sebanyak terimbau kembali cerita lama sewaktu berada di bangku sekolah seperti mereka. Begitulah kehidupan, setiap seorang daripada kita, akan melalui jalan yang sama, walaupun dalam kisah yang berbeza. Alam persekolahan, kemudian menjangkau usia remaja,dan akhirnya dewasa.. lalu... pasti akan bertemu dengan kematian di penghujungnya. Janji Allah itu benar, setiap yang bernyawa, pasti akan merasai kematian.


Tiba-tiba lamunanku terhenti, dalam kegamatan suasana mereka yang masing-masing tertawa keriangan, diam-diam gadis kecil itu memerhatikan gerak laku mereka sambil duduk menunggu seseorang. Termenung, lama. Tetapi apabila aku berkira-kira hendak mendapatkan dia di sana, tiba-tiba sebuah kereta hitam datang kemudiannya menghilang bersama kelibatnya. Dia,

Najwa

Demikian dia memperkenalkan dirinya di awal pertemuan ketika kali pertama aku mengajar di dalam kelasnya. Apabila melihat ke dalam anak matanya, seolah-olah ada sesuatu yang mengelabui sinar mata Najwa. Dia, bahkan tidak seceria kanak-kanak lain seusianya, meski reputasinya tidak pernah mengecewakan aku di dalam bilik darjah. Menurut guru-guru yang lebih lama bertugas di sekolah ini, Najwa bukan sahaja pelajar cemerlang dalam akedemik dan berasal dari keluarga ternama, bahkan, dia miliki kelebihan pada suara yang merdunya yang lunak beralun,juga seorang jaguh sukan kebanggaan sekolah. Sinar itu, menurutku patut sudah cukup menjadikan gadis kecil berumur 12 tahun sepertinya membesar dengan penuh girang dan bangga. Tetapi, bukan itu yang berlaku.

Bahasa kesedihan pada mata bening Najwa menimbulkan persoalan di hati kecilku.


**************************************************************

Mama terdiam. Najwa jadi kaku. Entah soalan itu membuat Mama berkecil hati atau tidak. Baru juga hari ini, entah kekuatan apa yang mendorong Najwa bertanya tentang hal itu. Sedangkan sebelum ini, dia sendiri membiarkan diri terus-menerus tidak mengerti tentang mama.

"Wang saku Najwa cukup lagi tak? nak Mama tambahkan?" pintas mama mengubah topik. Najwa ketap bibir, menahan keluhan kecil yang hampir keluar dari mulutnya kerana sikap acuh tak acuh mama.

"cukup, Mama." jawabnya pendek. Mama ketika itu telah memperlahankan kereta, pintu pagar di buka dan dia kemudian memandu masuk melewati pagar dan berhenti betul-betul di hadapan rumah banglo dua tingkat mereka.Usai turunnya Najwa dari kereta, Mama menghidupkan enjin lagi, berkejar ke meeting anak syarikatnya di Bangsar.

Selalu  Najwa memujuk hatinya yang inginkan belaian Mama dengan membiarkan dirinya turut hanyut dalam kesibukan Mama. Mama, ibu tunggal berkerjaya yang memenuhi hidupnya dengan bergiat aktif dengan karier. Baginya Mama merupakan ibu dan ayah, semenjak ayah terlibat kemalangan ketika usia Najwa menjangkau 5 bulan. Jadi, tidak ada apa-apa memori yang dapat di simpan bersama-sama ayah. Melainkan beberapa keping gambar yang boleh sesekali di tatap buat kenangan.

"termenung lagi?"

Bulat anak mata Najwa mendengar suara itu. Di sisi Ustazah Hani sedang tersenyum melihat Najwa.


"Ustazah.. erk..macam mana..."
"ustazah minta maaf sebab mengekori kamu sampai kesini" pintas Ustazah Hani mematikan persoalan di benak Najwa.

"sebenarnya, ustazah cuma nak berbual-bual dengan kamu.. boleh temankan ustazah sebentar?" pintanya.

Dia senyum,
Najwa juga tersenyum. 

"Duduklah, ustazah. Mak Teh balik kampung, biar Najwa buatkan air, ustazah nak minum air apa?" Najwa bergegas ke dapur. Mujur juga, kehadiran Ustazah Hani mengubat sedikit kesunyian bersendirian apabila Mak Teh tidak ada di rumah. Kerana itu, Najwa betah melayan guru barunya itu. Tenang melihat Ustazah Hani tersenyum, senang memandang perwatakannya yang ceria lagi berpakaian menutup aurat. Jujur saja, terkadang dia lebih menyenangi guru yang baru di kenalinya ini berbanding Mama sendiri. Kenapa? dia sendiri hilang punca memikirkan jawapannya.

"Eh, tak perlu lah susah-susah.. Ustazah dah minum tadi" Ustazah Hani menolak.
"Tak pe. Ustazah bukan selalu pun datang rumah Najwa ni. hehe.."
"Ermm.. kalau macam tu, mari ustazah bantu,"

ustazah Hani menyusuli Najwa ke dapur rumah itu.



"Najwa sendiri kat rumah?" 



Najwa angguk-angguk. "Dah biasa ustazah" katanya ramah. " Ustazah, kenapa kita mesti solat dan tutup aurat?" 



Ustazah Hani masih tersenyum. Tenang. "Sebab solat dan menutup aurat tu perintah Allah, kita ni kan hambaNya.".. 



"kalau kita tak buat?" tanyanya lagi. 



"Hmmm... Najwa, ingat tak, ustazah pernah cerita pasal kisah penciptaan Nabi Adam kat kelas dulu?" Najwa angguk. Ustazah nak cerita sambungan dari kisah tu, Najwa nak dengar tak?" Najwa angguk-angguk lagi. Lalu Ustazah Hani pun memulakan ceritanya, 



"Selepas Allah menciptakan Nabi Adam, maka Allah telah memerintahkan semua makhluk tunduk memberikan penghormatan kepada Nabi Adam. Pada masa tu, semua makhluk akur kepada perintah Allah, mereka tunduk memberikan penghormatan kepada baginda. Tapi.. dalam banyak-banyak tu, ada satu makhluk yang tak nak ikut perintah Allah.." 



"siapa makhluk tu ustazah? tanya Najwa penuh minat. 



" Haa, makhluk tu lah yang bernama iblis LaknatuLLah. Iblis dengan angkuh berkata kepada Allah: 



'Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering lagi busuk itu' 

mendengar kata-kata iblis yang angkuh itu, Allah telah murka dan iblis akhirnya diusir keluar daripada syurga, dan kemudian menjadi penghuni neraka. Macam tu lah juga kita manusia, Allah berfirman dalam Al-Quran bahawa Dia menciptakan makhluk dari kalangan jin dan manusia untuk akur perintahnya, siapa yang tak nak ikut perintah Allah akan mendapat kemurkaan Allah dan pada hari akhirat nanti, akan dimasukkan ke dalam neraka.." 


tidak semena-mena Najwa menangis teresak-esak. 



"Najwa, kenapa ni??" ustazah Hani terkejut.Terasa tubuh kecil Najwa memeluknya erat-erat.


*************************************************************************

"Doakan Najwa, ustazah" 



Sempat Najwa mengucup tanganku sebelum meninggalkan bilik guru menuju ke dewan peperiksaan pagi tadi. Hari ini hari terakhir UPSR. Aku senang dapat mengenali Najwa. Dia banyak berkongsi kisah hidupnya apabila acap kali punya kesempatan untuk berbual-bual denganku. Semenjak peristiwa di rumahnya hari itu, hubunganku dengan Najwa menjadi semakin akrab. 



"Mama tak pernah solat, tak pernah tutup aurat. Ustazah, Mama Najwa akan masuk neraka juga kah?" 



Aku terdiam mendengar pertanyaan Najwa. Pundak ini tersa berat sekali untuk menjawab soalan yang keluar dari mulutnya. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Esak tangis Najwa semakin kuat kedengaran. 

"Najwa, sudahlah. Jangan sedih, ustazah akan tolong Najwa.." perlahan ku usap air mata Najwa yang berjuraian. Di situlah termeterai sebuah janji. Ya Allah, bantulah aku untuk mengotakan janjiku pada Najwa. Aku mematikan enjin kereta. Di hadapan, sebuah bangunan tinggi menjulang. Aku teguhkan hati melangkah masuk menuju ke kaunter pertanyaan. 


"Maafkan saya, boleh saya berjumpa dengan Puan Nora?" gadis di hadapanku senyum. Dia mengangkat gagang telefon sambil mendail suatu nombor. "Cik naik lif ke tingkat 5, dan masuk ke bilik pejabat hujung sebelah kiri, Puan Nora sedang menunggu", katanya mesra. Walaupun agak gementar, aku mengikuti sahaja arahan gadis itu. Sambil mencuba untuk bersahaja, aku mengatur langkah satu persatu menuju ke sebuah bilik pejabat peribadi milik Puan Nora. Pintu ku ketuk sambil mengucap salam.Kedengaran suara seorang wanita dari dalam bilik mengarahkan aku masuk. Puan Nora memandang tepat kearahku.



"Ibu mana yang tidak sedar anaknya berubah, ustazah " 

Kata-kata Puan Nora tiba-tiba mengheningkan seketika suasana di dalam bilik pejabat itu setelah hampir 20 minit kami saling beramah mesra.

"maksud Puan?" aku menunggu butir bicara daripadanya.

"Najwa berubah. Dia dah lain..." Puan Nora mula bercerita.

"Saya membesarkan Najwa dengan penuh kemewahan. Makan,pakai, dan semua kemahuannya saya turuti.Maklumlah ustazah, dialah satu-satunya anak yang saya ada. kalau boleh, saya tak mahu kehilangan Najwa sama macam saya kehilangan ayahnya dahulu. Bagi saya, kegembiraan Najwa adalah kegembiraan saya. Tapi..Kebelakangan ni, Najwa banyak berubah. Dia tak seceria dulu lagi. Saya sedar, semakin usia Najwa bertambah,saya semakin sibuk melayan urusan perusahaan hinggakan terkadang tak sempat untuk menjenguk Najwa di rumah. Bila saya balik ke rumah, Najwa sudah pun nyenyak tidur. Jadi pada mulanya,saya ingatkan dia  cuma kesunyian. Tapi jangkaan saya meleset. Najwa berubah 100%. Saya nampak, dia buang 'pinafore' yang saya belikan, esoknya dia pakai baju kurung dan tudung labuh ke sekolah. Wang saku yang saya bekalkan habis Najwa belanja untuk membeli beberapa pasang baju lengan panjang, baju kurung, tudung,naskhah Al-Quran dan... sepasang telekung, tapi, bila saya tanya, katanya duit itu masih cukup.."

"Suatu hari Najwa bertanya kepada saya, 'kat pejabat mama solat tak?'..dalam hati saya.."Puan Nora diam seketika, seakan berat untuk meneruskan kata-kata. Aku melihat ada air mata yang jatuh membasahi pipinya.

"Najwa berubah.. Hati ibu mana yang tidak terharu melihat perubahan anaknya. Tapi yang lebih menyedihkan, Najwa berubah, tetapi saya langsug tidak berubah..tak pernah saya beri didikan agama pada Najwa.. Saya.. jahil.."  

"Puan," ketika itu aku tidak pasti apakah tindakan yang pantas aku lakukan melihat keadaan Puan Nora. Sepucuk surat ku keluarkan daripada saku jubah. Surat tulisan tangan Najwa untuk mamanya, Puan Nora.

"sebenarnya saya kemari untuk serahkan surat yang di tulis sendiri oleh Najwa. Dia mahu puan membacanya"..aku menyerahkan surat tersebut kepada Puan Nora. Dihadapanku, satu persatu tulisan tangan Najwa di baca oleh Puan Nora dengan wajah yang sayu.

"Ustazah, ajarkan saya menunaikan kewajipan saya sebagai hamba Allah".. pinta Puan Nora dalam sedunya setelah selesai membaca isi surat Najwa.


******************************************************************************

Beberapa bulan berlalu semenjak Mama menghantar Najwa dengan mata sayu apabila dia mendaftarkan diri di SMKAT. Dia tahu, sukar untuk mama melepaskan dia hidup sendirian menghadapi rutin kehidupan pelajar asrama. Tapi itulah janji mama Jika dia mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, maka dia boleh memilih mana-mana sekolah yang diingininya untuk melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, Najwa memanjatkan syukur yang tidak terhingga tatkala Dia membuka jalan untuk Najwa menuntut di sebuah sekolah aliran Agama. Pada ketika itu, Ustazah Hani lah yang banyak membantu dan membimbing Najwa. Hingga kini, mereka masih berhubung lewat telefon, masih berkongsi perkhabaran antara satu sama lain. Dan, sudah tentu, Najwa tidak pernah lupa bagaimana Ustazah Hani sanggup menjejakkan kaki ke pejabat mama menghantar surat yang di tujukan buat mama. Surat permintaan hati Najwa untuk mamanya. Dalam gelisah, Najwa sebenarnya ternanti-nanti reaksi mama setelah mendapat surat itu.


"Najwa Binti Abdullah, ada pelawat sedang menunggu.."

Lamunan Najwa terhenti mendengar namanya di sebut. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya. Di suatu sudut, Ustazah Hani menyambut Najwa sambil tersenyum. Dia memeluk ustazah Hani kegirangan.

"Ustazah seorang saja?" soalnya.
"Tak, berdua. Mari Najwa, kawan ustazah nak sangat berjumpa dengan Najwa,"

Ustazah Hani memimpin tangan Najwa. Di kejauhan, seorang wanita berjubah dan bertudung labuh berwarna merah jambu menyambut kedatangan Najwa,

"Assalamualaikum, apa khabar anak mama?"

Najwa terdiam kaku seakan-akan tidak percaya apa yang di lihatnya. Perlahan-lahan airmata kesyukuran jatuh dari pelupuk mata Najwa...

*******************************************************************************


Assalamualaikum,

Segala puji Najwa panjatkan kehadrat Allah ta’ala yang telah membuka ruang untuk Najwa mengenaliNya. Serta selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah SAW.Semoga Mama juga sentiasa di limpahi rahmat Illahi.

Mama,

Surat ini Najwa tujukan buat insan yang melahirkan Najwa di dunia, yang bertungkus-lumus berkerja siang dan malam demi memenuhi semua keperluan Najwa, dan melimpahi Najwa dengan seluruh kemewahan tanda kasih sayang. 

Mama,

ketika kawan-kawan sudah mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran, Najwa hanya mampu mendengar dan memerhati. Najwa juga sering melihat keluarga jiran berjalan bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat jemaah bersama-sama. beribadah bersama-sama. Alangkah penuh bermakna hidup mereka mama, sedangkan Najwa tiba-tiba merasakan hidup Najwa kosong, dan entah kenapa hati Najwa tidak pernah merasakan ketenangan walaupun dikelilingi kemewahan yang mama berikan.

Mama,

Maafkan Najwa mama,sekali-kali tidak pernah Najwa kesali memiliki Mama sebagai ibu Najwa, siapalah Najwa untuk menegur Mama yang memiliki pengalaman hidup yang jauh lebih banyak berbanding Najwa.Walaupun, sepanjang hidup Najwa, mama tidak pernah membekalkan Najwa dengan ilmu akhirat, kita tidak pernah solat dan membaca Quran bersama dan mama tidak pernah mengenalkan Najwa tentang apa itu aurat, rukun islam, rukun iman, bahkan tidak pernah mengajarkan Najwa apa itu Islam walaupun pada hakikatnya kita beragama Islam.Semuanya Najwa peroleh sendiri di sekolah.

Tapi, mama,Najwa masih bersyukur, kerana mama daftarkan Najwa di sekolah ini, sehingga Najwa berkenalan dengan Ustazah Hani.Dialah yang bayak membimbing Najwa mendalami Islam. Terima Kasih, Mama. Najwa sayang Mama.

Mama,

Alangkah indahnya jika kita bukan sahaja dilimpahi dengan kemewahan dunia, bahkan turut dilimpahi dengan kemewahan akhirat yang pastinya membawa kita kepada kebahagiaan di syurga. InsyaAllah mama, Najwa sedang mencari kemewahan akhirat dengan bimbingan Ustazah Hani. Namun, Najwa tidak mahu mencari kemewahan akhirat bersendirian, Najwa inginkan Mama sentiasa ada di sisi Najwa.Marilah kita kejar kemewahan ini bersama-sama. Kemewahan yang akan membawa kita kepadaNya.

Sampai di sini dahulu yang mampu Najwa coretkan.Sekali lagi maafkan Najwa sekiranya isi surat ini menyinggung perasaan mama. Semoga Allah memberkati Mama selalu.

Salam sayang dari anakmu:

Najwa Binti Abdullah







Wednesday, January 25, 2012

WINTER & SPRING




It seems that winter has come to visit the land..
Yet, everything get clotted,
Down to the sorrow..

But,
No matter how cold the winter is,
It always melt away..
and spring will come back for sure.. =)




~AQILAH KAUTHAR~

UCAPKANLAH, AKU RINDU PADAMU..



Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w seraya bersabda:

"Sesungguhnya aku amat merindui ikhwanku"

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna."Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Inilah kisah pengucapan rindu baginda kepada kita, ummat yang tidak pernah baginda temui..namun....,,

Zaman berlalu menjadikan kisah ini kian disimpan utuh dalam lipatan sejarah. Umpama naskhah lama yang di simpan rapi di dalam almari tua, tidak di pedulikan. Dia yang mengasihi dan merindui, sudah semakin dilupakan. Padahal, di sepanjang kehidupan baginda, tidak pernah sedikitpun baginda lupa untuk mengingati kita, dalam doa, dalam setiap sujud bahkan setiap hela nafas..Subhanallah..hebatnya kasih dan cintamu kepada kami Ya Rasulullah.

Pada hari ini, mari kita bertanya kedalam diri, sudahkah kita jatuh cinta kepada dia yang mencintai kita lebih seabad lamanya? dan apakah bukti cinta dan kasih sayang kita kepadanya? Bukankah sudah banyak bukti kukuh yang dia pamerkan untuk menunjukkan betapa dia sangat sayang kepada kita sebagai ummatnya?

Benar, ramai kalangan kita yang mahu mengaku cinta, tapi....

Mengaku cinta dengan meninggalkan sunnah-sunnahnya..
Mengaku cinta dengan melupakan selawat ke atasnya..
Mengaku cinta dengan tidak menelusuri salasilah dan riayat hidupnya..

Lalu..

Dengan apakah lagi kita dapat membuktikan bahawa kita cinta kepada Rasulullah yang sanggup menanggung separuh daripada azab sakaratul maut ummatnya dipenghujung riwayat baginda?




Hari ini, kita ummatnya sering terpaksa menghadiri kuliah sirah di bilik-bilik kuliah, menelaah kehidupan baginda dengan hati kosong, semata-mata untuk mencapai matlamat materialistik atau demi kejayaan pada musim peperiksaan. Maka tanyalah kedalam hati nurani, adakah kita ummat yang dirindui oleh Rasulullah, yang menjadikan para sahabat iri hati mendengar ucapan baginda di dalam majlis itu suatu ketika dahulu?

Jika tidak, kelompok ummat yang manakah diri kita ini akan tergolong?

Pada sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki ini alangkah ruginya kita andai kita tidak pernah merindui dan mencintai seseorang yang amat mencintai kita dengan sebenar-benar cinta. Bermulalah dengan sedaya upaya mengamalkan sunnahnya, mengamati segala pesanan baginda, melazimi selawat keatasnya, serta menelusuri sirahnya dengan penuh berhikmah. Subur dan buktikanlah cinta kita pada baginda. 

Dari Anas R.A, dari Nabi s.a.w, bahawasannya baginda bersabda:


لاَ ÙŠُؤْÙ…ِÙ†ُ Ø£َØ­َدُÙƒُÙ…ْ Ø­َتَّÙ‰ Ø£َÙƒُونَ Ø£َØ­َبَّ Ø¥ِÙ„َÙŠْÙ‡ِ Ù…ِÙ†ْ ÙˆَالِدِÙ‡ِ ÙˆَÙˆَÙ„َدِÙ‡ِ Ùˆَالنَّاسِ Ø£َجْÙ…َعِينَ

“Tidaklah (sempurna) iman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orangtuanya, anaknya dan segenap umat manusia.” (Muttafaq Alaih)



Maka, ucapkanlah....
Ya Rasulullah.. aku rindu padamu..






Monday, November 7, 2011

DUHAI DIRI II: BERSANGKA BAIKLAH ENGKAU KEPADA ALLAH




DUHAI DIRI I: JAGALAH HATIMU DARIPADA DI CARIK-CARIKKAN DENGAN TANGANMU SENDIRI









CATATAN PERJALANAN II: RAYA KL LA~


Sunyi sepi,

Sayup-sayup takbir raya memecah hening pagi 6 November. Selamat Hari Raya Aidil Adha Aqilah Kauthar.. Memandangkan tarikh hari raya kali ini berdekatan dengan tarikh final exam untuk semester ni, ramai juga antara pelajar IPIS memilih untuk tidak pulang beraya di kampung halaman. Namun di kolej kediaman ana, ramai juga yang memilih untuk pulang beraya di rumah. Err,, sesape yang duk kat KL & area dekat-dekat sini, untonglah~ boleh balik beraya bersama keluarga tercinta dengan happy nye~



Sementara ana?

Mulanya sambutan Raya ana ala kadar sahaja. Malam raya tu sempat jugaklah main bunga api dengan akhawat yang senasib dengan ana hehe.. :) bunga api ye, bukan mercun atau meriam buluh. :p~ Pagi raya usai takbir dan khutbah raya berkumandang, kesunyian mula terasa. Maklumlah, jiran sebelah yang tak balik pun dah ada plan nak sambut raya. Room mate ana pulak dah ada janji dengan kawan sekelas dia. Nasib baiklah ada dua orang sahabat yang sudi beraya bersama-sama dengan ana.. hehe.. post kali ini pun dedikasi khas buat dua orang sahabat yang banyak berkorban sepanjang ana bersama-sama mereka. Terharu rasanya kerana perjalanan kali di tanggung sepenuhnya oleh dua orang sahabat ana ini memandangkan dompet ana tertinggal di kolej kediaman. ='(

Perjalanan selama lebih kurang 35 minit membawa ana dan dua orang sahabat ana ke rumah Opah dan Tok Wan, pasangan suami isteri warga emas yang tinggal bersama dengan anaknya, Mak Long dan seorang cucu mereka. Pada mulanya segan juga kerana pertama kali bertemu dengan mereka. Namun, lama-kelamaan, ana  menjadi semakin mesra kerana ana dapati Opah dan ahli keluarganya begitu ramah dan baik hati. =)

Petang itu, usai menghadiri Majlis Qurban yang di laksanakan di surau berhampiran kediaman Opah, kami bertiga bercadang untuk berkunjung ke 'Pc Fair' yang sedang berlangsung di Mid Valley. Awalnya, kami merancang untuk terus kembali ke IPIS selepas itu. Namun, atas permintaan Opah, kami membatalkan perancangan itu dan memilih untuk menginap semalaman di kediaman Opah dan Tok Wan.

Memudahkan perjalanan, Tok Wan dengan senang hati menemani ana dan dua orang sahabat ana ke Mid Valley pada petang itu. Tidak terasa letih perjalanan petang itu kerana sepanjang perjalanan kami disajikan dengan cerita Tok Wan yang banyak menyentuh mengenai Kuala Lumpur yang kini telah banyak berubah wajah jika di bandingkan dengan keadaan yang dahulu.

Suasana di Mid Valley pada waktu petang

Pc Fair, antara tujuan utama kami berkunjung ke Mid Valley

Kami keluar daripada Mid Valley pada lebih kurang pukul 8.20 malam dan meneruskan perjalanan melewati pasar seni dan sekitarnya. Jujur, inilah pertama kali ana 'meronda' Kuala Lumpur tanpa ditemani mahram ataupun ahli keluarga terdekat. Walaupun agak lengang jika dibandingkan dengan suasana biasa, Kuala Lumpur pada malam raya ini tetap cantik dihiasi dengan lampu-lampu yang kelihatan seperti kunang-kunang yang menghiasi suasana malam. Suatu pengalaman baru bagi ana bersama sahabat-sahabat ana.


pemandangan di Kuala Lumpur Pada waktu malam

Pagi seterusnya, kami meninggalkan kediaman Opah dan Tok Wan selepas bersarapan pagi.Mak Long, anak kepada Tok Wan dan Opah menunjukkan jalan yang perlu kami lalui menuju ke stesen KL Sentral. Selepas pertukaran bas sebanyak dua kali, akhirnya kami bertiga telah selamat tiba di KL Sentral, sebelum bertolak kembali ke IPIS, kami bertiga singgah sebentar di Mid Valley bagi menyelesaikan sedikit masalah berkaitan kad SIM sahabat ana.

Ujian bagi kami tiba apabila  mengalami kesukaran sewaktu perjalanan balik ke IPIS.

Pada mulanya, kami bertiga telah bersetuju untuk menaiki KTM ke stesen UKM memandangkan itu merupakan langkah paling mudah untuk kembali ke IPIS sebelum bergerak ke sana menggunakan teksi. Malangnya, KTM telah mengalami masalah pergerakan pada ketika itu.

dalam ramai-ramai penumpang wanita
yang bersesak-sesak masuk ke dalam
koc wanita,ada juga penumpang lelaki
yang suka mengambil kesempatan

KTM yang pertama tiba di stesen pada lebih kurang pukul 4.27 petang di ikuti dengan yang kedua pada pukul 4.45. Namun di sebabkan kesesakan yang berlaku, kami gagal memasuki ruang koc yang di sediakan (lebih rela memilih untuk tidak memasuki koc wanita yang di dalamnya ada beberapa orang penumpang lelaki yang turut sama bersesak dengan penumpang wanita). Apa yang menyedihkan, walaupun kerap kali pegawai polis yang bertugas mengingatkan, ada juga penumpang lelaki yang turut bersesak-sesak masuk ke dalam koc meraah jambu yang di khususkan untuk penumpang wanita, dan ramai pula kalangan kaum wanita sendiri tidak prihatin terhadap warga emas, serta ibu-ibu yang menggendong anak kecil. Semuanya pada ketika itu merempuh masuk, tanpa menghiraukan golongan-golongan ini yang cuba untuk keluar daripada koc tersebut.


Walaupun kenyataan ini di lekat di setiap koc wanita,
namun ada juga segelintir pihak yang masih tidak prihatin.

Memilih untuk tidak turut serta  bersesak-sesak dalam keadaan seperti itu,  maka kami mengambil keputusan untuk mengambil teksi ke hentian Pudu, dan terus bertolak ke Bandar Baru Bangi dari sana. Alhamdulillah, selamat tiba di Kolej Kediama sebelum azan Maghrib. 

Dan sungguh, bagi ana terlalu banyak nilai dan pengajaran yang dapat dikutip daripada perjalanan kali ini, terutama dari sudut akhlak dan etika seorang muslim, betapa perlunya kita memiliki sikap saling menghormati dan prihatin sesama saudara semuslim khususnya dan kepada masyarakat amnya. Sesungguhnya, Allah menciptakan manusia itu berbagai ragam dan bangsa, maka janganlah kita saling bertelagah dan saling menindas antara satu sama lain, sebaliknya sebarkanlah bahagia melalui sikap hormat,prihatin dan saling membantu antara satu sama lain, Wallahualam~